Pahang berjaya noktahkan statistik miskin tegar – MB

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail / Foto Fail BERNAMA

KUANTAN, 19 Ogos – Pahang berjaya menoktahkan statistik miskin tegar pada Februari lalu selepas kesemua 2,913 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan dalam lock figure pada 15 Januari berjaya dikeluarkan daripada kategori berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengurangan 30 peratus KIR miskin apabila 4,263 daripada 14,210 KIR berjaya dikeluarkan daripada kategori tersebut.
  • Kejayaan hasil kerjasama Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi melalui bantuan, inisiatif serta intervensi bersasar.
  • Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama bagi membantu keluarga miskin, memastikan berdikari, sumber pendapatan lebih kukuh dan kehidupan lebih sejahtera.

Pencapaian itu turut disusuli pengurangan 30 peratus KIR berstatus miskin apabila 4,263 daripada 14,210 KIR dalam kategori tersebut pada Jun lalu berjaya dikeluarkan daripada kelompok berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu hasil kerjasama Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan menerusi pelbagai bantuan, inisiatif serta intervensi bersasar.

“Perubahan pendapatan dan saiz isi rumah turut mempengaruhi status kemiskinan sesebuah keluarga.

“Kategori miskin tegar merujuk isi rumah dengan pendapatan per kapita di bawah RM372 sebulan di bandar dan RM345 di luar bandar.

“Bagi kategori miskin pula, pendapatan per kapita ditetapkan kurang daripada RM790 di bandar dan RM714 di luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, penentuan status berkenaan dibuat berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Kementerian Ekonomi.

Beliau menjelaskan data dalam Sistem eKasih bersifat dinamik dan boleh berubah mengikut keadaan sosioekonomi isi rumah termasuk perubahan pendapatan, kehilangan pekerjaan serta pertambahan atau pengurangan ahli keluarga.

Perubahan turut boleh berlaku apabila anak KIR berpindah keluar selepas berkahwin atau memperoleh pekerjaan.

Justeru, beliau menegaskan kejayaan menoktahkan miskin tegar tidak bermakna usaha membasmi kemiskinan telah selesai.

“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi bantuan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bagi memastikan keluarga yang masih berada dalam kategori miskin atau kembali berdepan kemiskinan terus dibantu mengikut keperluan,” katanya.

Beliau menegaskan matlamat kerajaan bukan sekadar mengeluarkan rakyat daripada status kemiskinan, tetapi memastikan mereka mampu berdikari, mempunyai sumber pendapatan lebih kukuh dan menikmati kehidupan lebih sejahtera.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.