GUA MUSANG, 17 Julai - Peruntukan sebanyak RM7 juta daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri membantu pelaksanaan pelbagai projek pembangunan termasuk menaik taraf kemudahan asas serta kawasan rekreasi di Gua Musang, Kelantan sejak tahun lalu.
Ketua Jajahan Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail berkata, sejumlah RM4 juta daripada kerajaan persekutuan dan RM3 juta daripada kerajaan negeri telah disalurkan kepada Majlis Daerah Gua Musang (MDGM).
Beliau yang juga Yang Dipertua MDGM berkata selain memfokuskan tempat rekreasi dan kemudahan awam, peruntukan itu juga digunakan untuk kemudahan sosial, keindahan serta kebersihan bandar.
"Pada tahun 2024 sahaja, kita telah menerima lebih RM3 juta daripada kerajaan negeri dan RM4 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk membina pelbagai tempat rekreasi.
"Namun, kita turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, kemudahan sosial, keindahan, dan kebersihan.
"Pada masa ini, kita juga menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk membina sebuah kawasan 'motorhome' dan 'campervan' yang terletak berhampiran dengan Muse Ecopark," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini.
Mohd Roshdi berkata pada masa ini juga terdapat satu projek untuk membina trek atau laluan mendaki Bukit Chupak dengan peruntukan RM500,000.
Menurutnya, Bukit Chupak adalah satu bukit ikonik di Gua Musang dan dijangka dapat disiapkan akhir tahun ini.