Peruntukan RM50 juta bawah PTPK diguna perkenal bidang baharu

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat ruang pameran pada Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 di Dataran Putrajaya hari ini / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Jun – Peruntukan hingga RM50 juta menerusi dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan digunakan bagi memperkenalkan bidang-bidang baharu yang sebelum ini belum ditawarkan di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pelaksanaan TVET 2.0.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bidang baharu TVET termasuk teknologi tenaga hidrogen, penyelenggaraan dan pembaikan pesawat (MRO) serta kejuruteraan maritim.
  • Kerajaan beri keutamaan kepada pelajar lepasan institusi tahfiz dan pondok untuk menyertai program-program TVET.
  • Penyelarasan pelaksanaan TVET di kementerian dan agensi bawah kepimpinan KSN bermula bulan depan bagi mempercepat latihan tenaga mahir.
  • Dalam kerangka Belanjawan 2026, peruntukan PTPK ditetapkan sebanyak RM650 juta bagi pembangunan modal insan dan latihan kemahiran.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bidang baharu itu termasuk teknologi tenaga hidrogen, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) serta kejuruteraan maritim.

“Ia (dana ini) digunakan untuk bidang-bidang baru yang selama ini tidak diajarkan di mana-mana insitutsi TVET.
Umpamanya pembelajaran mengenai tenaga hidrogen untuk kenderaan dan jentera, terutamanya bagi pengeluaran tenaga…ia termasuk bidang MRO dan Kejuruteraan Maritim,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2026 di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri barisan menteri Kabinet serta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Tambahnya, kerajaan turut memberikan keutamaan kepada pelajar-pelajar lepas institusi tahfiz dan pondok untuk menyertai program-program yang ditawarkan oleh TVET.

Selain itu katanya, penyelarasan pelaksanaan TVET di peringkat kementerian dan agensi di bawah kepimpinan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang bermula bulan depan adalah untuk mempercepatkan penyediaan tenaga kerja mahir memandangkan permintaan industri kini melebihi penawaran, khususnya dalam sektor strategik seperti MRO dan semikonduktor.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapannya memaklumkan, kerajaan bersetuju membenarkan penggunaan dana hingga RM50 juta daripada Program Berimpak Tinggi di bawah PTPK bagi memperkukuh pelaksanaan TVET 2.0.

Di bawah kerangka Belanjawan 2026, peruntukan keseluruhan bagi PTPK ditetapkan sebanyak RM650 juta bagi menyokong pembangunan modal insan dan latihan kemahiran negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.