
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Peruntukan bagi pembangunan kemahiran belia perlu diseimbangkan dengan pelaburan kerajaan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan golongan itu mampu memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang semakin dipengaruhi teknologi baharu.
- Utamakan pembangunan kompetensi belia termasuk penguasaan AI dan kemahiran digital.
- Sokong inisiatif Bakat MADANI namun perlu sejajarkan usaha peningkatan kemahiran dengan kehendak industri dan teknologi.
- Perhatian kepada pengurangan peruntukan PTPK daripada RM650 juta kepada RM500 juta; bantuan belia mesti seimbang dengan bajet TVET.
- Perkasakan TVET dengan kandungan latihan selaras teknologi baharu dan gunakan NADI untuk luaskan akses latihan digital luar bandar.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata pembangunan kompetensi anak muda perlu terus menjadi keutamaan, termasuk dalam penguasaan kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran digital.
Beliau berkata, komitmen kerajaan menyediakan peluang pekerjaan baharu menerusi inisiatif Bakat MADANI merupakan langkah positif, namun usaha meningkatkan kemahiran belia perlu bergerak seiring dengan perubahan teknologi dan keperluan industri.
“Pengumuman komitmen kerajaan untuk menyediakan pekerjaan baharu melalui Bakat MADANI juga satu perkara yang baik. Tapi yang paling utama ialah bagaimana kita mengangkat kemahiran anak muda kita, kemampuan mereka supaya seiring dengan peredaran zaman, generasi ataupun AI dan sebagainya,” katanya ketika ditemu bual dalam segmen Kanta Niaga, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan had umur kelayakan langganan AI percuma dinaikkan daripada 30 kepada 35 tahun bagi membolehkan lebih ramai belia memanfaatkan teknologi berkenaan untuk meningkatkan kemahiran digital.
Menurutnya, usaha memperkukuh TVET juga perlu disokong peruntukan mencukupi bagi membantu belia mengikuti latihan kemahiran, termasuk melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Beliau berkata, penurunan peruntukan PTPK daripada RM650 juta pada 2026 kepada RM500 juta perlu diberikan perhatian, meskipun kerajaan mengumumkan peruntukan RM8 bilion bagi TVET.
“Ia ada sedikit janggal, yang mana kos ataupun bajet untuk TVET dinaikkan, tapi bantuan kepada belia kita yang nak masuk ke kemahiran ini dikurangkan. Jadi, harus seimbang antara PTPK dan juga PTPTN,” katanya.
Mohd Izzat Afifi turut menegaskan bahawa TVET perlu terus diperkasakan sebagai laluan pembangunan kemahiran, dengan kandungan latihan disesuaikan mengikut perkembangan teknologi baharu termasuk AI, dan tidak hanya tertumpu kepada kemahiran tradisional.
Selain itu, MBM menyokong pemanfaatan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk memperluas akses latihan digital serta membantu belia, khususnya di luar bandar, meneroka peluang perniagaan dalam talian.
Beliau berkata, pengukuhan kemahiran dan kompetensi belia penting bagi meningkatkan peluang pekerjaan, potensi pendapatan serta keupayaan mereka menghadapi cabaran ekonomi semasa.