
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis menjalankan siasatan berhubung kematian seorang murid Tahun Satu yang mengalami kesukaran bernafas di sebuah sekolah di Dengkil, semalam.
- KPM memberi keutamaan kepada sokongan psikososial kepada keluarga mangsa dan warga sekolah yang terkesan.
- Menteri Fadhlina merakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
- Polis mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan tujuh tahun maut selepas alami kesukaran bernafas di dalam kelas.
- Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pihaknya ketika ini memberi keutamaan kepada penyediaan sokongan psikososial kepada keluarga mangsa dan warga sekolah yang terkesan dengan kejadian itu.
“Pertama, kita rakamkan ucapan takziah kepada keluarga. Ketua Polis Daerah Sepang juga telah membuat kenyataan. Jadi kami (KPM) akan ikut maknanya pandangan itu berdasarkan kepada siasatan polis.
“Jadi untuk sekarang ini tumpuan KPM adalah kepada keluarga dan juga warga sekolah untuk kita berikan sokongan dari segi psikososial. Jadi siasatan itu akan dilakukan oleh pihak polis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Lembah Pantai hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Terdahulu, polis mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun maut selepas dipercayai mengalami kesukaran bernafas semasa berada dalam kelas di Dengkil, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.30 malam semalam.
Mangsa dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas sebelum diberikan bantuan awal pernafasan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.