ATM jalankan persiapan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara Tun Dr Siti Hasmah

Anggota tentera dilihat bersiap sedia bagi persiapan istiadat pengebumian

PUTRAJAYA, 28 September – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melakukan persiapan bagi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota tentera menjalani latihan tatacara istiadat pengebumian.
  • Jenazah disemadikan bersebelahan pusara Tun Endon; penghormatan akhir di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi.
  • Allahyarham meninggal dunia di IJN pada usia 100 tahun; berita disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Tinjauan RTM di lokasi turut menyaksikan anggota pasukan ketenteraan menjalani persiapan dan latihan berkaitan tatacara istiadat berkenaan.

Persiapan rapi itu dilakukan sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang banyak menyumbang kepada negara, khususnya dalam bidang kesihatan, pendidikan dan kebajikan masyarakat.

Jenazah Allahyarham dijadual disemadikan bersebelahan pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Penghormatan terakhir buat Allahyarham akan dilaksanakan di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi, Seri Kembangan kira-kira pukul 3.00 petang.

Jenazah Allahyarham akan disolatkan selepas solat Asar yang dijadual berlangsung pada pukul 4.15 petang di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Allahyarham merupakan anak keenam daripada 10 beradik.

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah, yang setia mendampingi Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang kehidupan dan perjalanan perjuangannya, meninggalkan tujuh orang anak.

Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada usia 100 tahun pagi ini.

Berita pemergiannya disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.