Perpaduan nasional perlu berteraskan nilai kenegaraan bersama

Perpaduan kaum perlu dipertahankan demi memelihara keharmonian – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama perlu terus memperkukuhkan perpaduan berasaskan nilai kenegaraan yang dikongsi bersama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perpaduan diperkasa melalui keseimbangan, kebersamaan dan menekankan titik persamaan bagi mengelakkan ketegangan berbaur kaum, agama atau bangsa.
  • Amalkan tabayyun dan empati sosial untuk menahan penyebaran naratif ekstrem yang dibantu algoritma media sosial.
  • Semua pihak perlu saling menghormati, berhemah berkomunikasi dan elak berkongsi kandungan provokatif demi keharmonian.

Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pendekatan berteraskan keseimbangan, kebersamaan dan titik persamaan dalam kalangan rakyat perlu diperkasa agar keharmonian negara kekal dipelihara.

“Kita hidup dalam negara berbilang kaum, agama, bangsa yang dicemburui oleh negara-negara lain, oleh kuasa-kuasa besar dunia mahupun kuasa-kuasa di serantau ini. Namun, apa yang paling penting adalah untuk kita cuba membangkitkan satu bentuk nilai kenegaraan yang sama.

“Membentuk satu isu perpaduan yang tidak boleh dipisahkan dalam apa jua keadaan dan apa juga perkara-perkara yang boleh meruncingkan isu-isu berbaur kaum, agama dan bangsa negara kita,” katanya ketika dihubungi RTM.

Sementara itu, Profesor Kehormat Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Ainul Jaria Maidin pula berpandangan, algoritma media sosial cenderung memaparkan kandungan yang selari dengan kecenderungan pengguna, sekali gus berpotensi menyebarkan kandungan bersifat ekstrem dan provokatif.

“Agar tidak terjebak dalam naratif perpecahan, kita kena menekankan prinsip ‘tabayyun’ iaitu saring sebelum berkongsi sesuatu maklumat dan juga amalkan empati sosial.

“Bila kita tengok media sosial, ada satu algoritma di mana bila kita membuat sesuatu carian berkaitan sesuatu konsep, media sosial ini akan sentiasa cenderung memaparkan kandungan yang sama.

“Kadang-kadang, dia akan membawa kandungan yang ekstrem kepada rakyat. Kita jangan biarkan emosi kita dimanipulasi oleh hantaran yang ekstrem,” ujarnya kepada RTM.

Semua pihak diseru memainkan peranan dalam memastikan suasana harmoni terus terpelihara dengan mengamalkan sikap saling menghormati, berhemah dalam berkomunikasi serta mengelakkan penyebaran kandunga yang mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.