Polarisasi, kesalahan maklumat cabaran perpaduan negara

Perpaduan tidak dilihat sebagai acara tahun, sebaliknya amalan sivik diterapkan dalam kehidupan harian

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Polarisasi serta maklumat yang salah antara cabaran terhadap mengukuhkan perpaduan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polarisasi menjadikan etnik, agama, identiti wilayah alat pecah belah; respons perlu pencegahan dan pembetulan.
  • Maklumat palsu mudah tersebar melalui algoritma, mengukuhkan kepercayaan sedia ada; perlu tindakan pembetulan dan pendidikan maklumat.
  • Perpaduan bukan acara tahunan tetapi amalan sivik yang mesti diterapkan dalam kehidupan harian.
  • Inisiatif akar umbi seperti Rukun Tetangga, libat urus antara agama, belia, kebudayaan dan dialog ialah infrastruktur penting.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menjelaskan polarisasi berupaya mengakibatkan kelompok rakyat saling bersaing, bukan bersatu sebagai warganegara, manakala maklumat palsu boleh tersebar lebih pantas dengan algoritma berulang kali memaparkan kandungan mengukuhkan kepercayaan sedia ada.

“Apabila etnik, agama atau identiti wilayah sengaja digunakan untuk mencetuskan kemarahan, perbezaan tidak lagi menjadi perbezaan semata-mata, sebaliknya menjadi alat untuk memecahbelahkan, dan tindak balas kita perlu bersifat pencegahan dan pembetulan,”katanya dalam ucapan pada Dialog Seri Negara 2026 di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia.

Beliau dalam masa sama, menekankan perpaduan tidak dilihat sebagai kempen, sambutan atau acara tahun, sebaliknya amalan sivik yang diterapkan dalam kehidupan harian.

“Rukun Tetangga, program kemasyarakatan, libat urus antara agama, inisiatif belia, aktiviti kebudayaan, platform dialog dan kerjasama di peringkat akar umbi bukan sekadar aktiviti sampingan, sebaliknya merupakan infrastruktur negara yang penting, katanya lagi.

Bertemakan ‘Sejarah berbeza, masa depan bersama’, Dialog Seri Negara 2026, anjuran Chevening Alumni Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dan Kementerian Perpaduan Negara, menjadi platform perbincangan mengenai pembinaan negara bangsa, pengukuhan perpaduan serta masa depan Malaysia yang berteraskan identiti nasional, nilai bersama dan semangat kebersamaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.