
KUALA LUMPUR, 17 September – Kerajaan MADANI memutuskan untuk menambah baik subsidi bil elektrik bagi rakyat dengan memperluaskan tahap perlindungan penggunaan elektrik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan, berkuat kuasa bagi penggunaan mulai September hingga 31 Disember 2026.
- Kerajaan mengambil tindakan segera untuk menangani tekanan kos sara hidup berkaitan bil elektrik.
- Pengguna domestik diberikan pengecualian AFA, Caj Peruncitan dan Cukai Jualan serta Perkhidmatan bagi had penggunaan pelindung.
- Keadaan jerebu dan cuaca lebih panas mendorong peningkatan penggunaan elektrik isi rumah, menyebabkan bil meningkat mendadak.
- Kerajaan menghargai kerjasama TNB, Kementerian PETRA dan Suruhanjaya Tenaga; akan memantau kos bahan api dan pasaran tenaga.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu merupakan tindakan segera kerajaan bagi menangani tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.
“Langkah ini diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat saat ini,” menurut beliau dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata melalui langkah berkenaan, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan menerusi pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa,” katanya.
Datuk Seri Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam membolehkan langkah itu dilaksanakan dengan segera.
Beliau berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat dan beban hidup, keterjaminan bekalan elektrik serta kemampanan sektor tenaga negara.