fb fb fb fb fb

Perkukuh sistem keselamatan akaun THiJARI, elak dicerobohi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

BANDA HILIR, 6 Mac - Lembaga Tabung Haji (TH) diarah untuk segera memperkukuhkan sistem keselamatan akaun THiJARI bagi mengelakkan digodam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, tindakan itu perlu diambil untuk menutup ruang segala maklumat daripada diceroboh.

Bagaimanapun tegas Dr Na'im, kerjasama daripada pendeposit juga penting supaya berhati-hati dalam melayari sebarang laman sesawang dan tidak mudah menekan sebarang pautan mesej yang diterima tanpa menyemak terlebih dahulu.

Terbaharu, sebuah akaun pendeposit TH hilang RM12,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian.

Bagaimanapun, TH telah mengambil langkah segera dengan membekukan akaun pendeposit berkenaan.

"Dalam konteks apa yang berlaku yang melibatkan aplikasi THiJARI Tabung Haji telah buat laporan polis dan kita akan bekerjasama. Tabung Haji akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat perkara ini dan pada masa sama saya telah diarahkan agar Ketua Pegawai Eksekutif TH untuk memperkukuhkan lagi sistem keselamatan THiJARI dan kita akan mengambil pendekatan untuk memastikan keselamatan wang pendeposit ini terjamin," kata Dr Na'im kepada media dalam Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2024, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai untuk berhati-hati dengan penipuan melibatkan kutipan zakat fitrah oleh individu tidak bertanggungjawab khususnya pada Ramadan ini.

Kerajaan melalui Majlis Agama Islam Negeri telah melantik amil yang diberi kebenaran untuk mengutip zakat fitrah.

Justeru, pemantauan sentiasa dilaksanakan sepanjang Ramadan bagi memastikan penipuan kutipan zakat fitrah dapat dibendung.

Dalam pada itu, Dr Na'im berkata Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) akan memperkasakan pusat sehenti Sistem Wakaf Tunai Malaysia (SWTM) dalam usaha menggalakkan amalan berwakaf dalam kalangan masyarakat.

Melalui sistem digital yang ditambah baik itu, pelbagai kemudahan disediakan kepada pewakaf yang boleh dibuat secara dalam talian.

Ia termasuk pengguna boleh melaksana pewakafan tunai secara sekali beri atau membuat permohonan wakaf secara potongan gaji bagi penjawat awam.

Selain itu, pengguna juga boleh memuat turun dan mencetak penyata sumbangan wakaf bertujuan tuntutan potongan cukai, inisiatif bagi memastikan proses pewakafan dapat dilaksana dengan lebih efisien dan tuntas.

Sejak ditambah baik pada 5 Januari lalu, lebih 8,000 pengguna direkodkan telah menggunakan sistem berkenaan.

"Kita nak menggalakkan masyarakat untuk berwakaf , pihak Yayasan Wakaf Malaysia mestilah menyediakan platform untuk memudahkan masyarakat untuk memberikan sumbangan wakaf tadi, jadi jadi sistem yang dibangunkan ini adalah sebagai jawapan yang dibuat YWM untuk menggalakkan masyarakat di luar sana berwakaf," katanya.

Semua pewakaf layak mendapat potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus bawah Subseksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

TETITIA YUSOFF