fb fb fb fb fb

PERKESO, Pepper Labs bantu graduan menganggur kuasai kemahiran digital

Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Ogos - PERKESO dan Pepper Labs bekerjasama menerusi inisiatif Google Gemilang bagi menangani isu pengangguran belia dengan menawarkan biasiswa penuh kepada graduan menganggur untuk memperoleh sijil kerjaya Google.

Program ini membolehkan peserta mengikuti kursus dalam bidang permintaan tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, analitik data, pengurusan projek dan pemasaran digital menerusi platform Coursera.

Dalam satu kenyataan, PERKESO berkata, inisiatif ini merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan serta menyokong aspirasi negara untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran digital dan bersedia menghadapi masa depan.

"Kerjasama ini selaras dengan misi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk mempercepatkan keterangkuman digital dan menyediakan tenaga kerja berkemahiran masa depan.

"PERKESO akan mengenal pasti calon melalui platform MYFutureJobs dan karnival kerjaya, manakala Pepper Labs akan membimbing peserta dari segi kemahiran teknikal, insaniah dan penempatan kerja," menurut kenyataan itu.

Sejak penubuhannya, Pepper Labs telah memperkasa lebih 300,000 rakyat Malaysia dalam bidang teknologi dan digital, dan kini memperkukuh peranannya sebagai peneraju impak sosioekonomi dan transformasi digital negara.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI