
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat menyasarkan memuktamadkan penyata cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjelang pertengahan Mei.
- Jawatankuasa adakan siri mesyuarat untuk memperhalusi cadangan pindaan Perlembagaan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat Jun.
- Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai agenda reformasi MADANI, melibatkan pandangan pembangkang dan ahli Parlimen kerajaan.
- Dijemput empat pakar perundangan dan NGO mengemukakan pendapat bertulis, termasuk bantahan, cadangan, kritikan dan pilihan alternatif.
- Jawatankuasa akan meneliti keseluruhan RUU pindaan, termasuk Perkara 42, 132, 138, 145 dan peruntukan baharu 145A serta 145B.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jawatankuasa itu telah menetapkan beberapa siri mesyuarat susulan bagi memperhalusi cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara berkenaan sebelum dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Jun ini.
“Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ini ialah agenda reformasi yang dijanjikan kerajaan MADANI dan menunjukkan komitmen kerajaan untuk mendapatkan pandangan kedua-dua pihak, iaitu pembangkang dan Ahli Parlimen kerajaan, bagi menyokong perkara ini. Tiada soal memaksa. Ahli Parlimen kerajaan juga boleh mengemukakan pandangan masing-masing kerana wakil parti ada di sini. Saya akui kerajaan tidak boleh berada dalam kedudukan seolah-olah mengetahui semuanya,” katanya.
Datuk Seri Azalina Othman Said berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara Dan Pendakwa Raya Bil. 1/2026 di Parlimen.
Mesyuarat hari ini juga turut bersetuju mendapatkan pandangan empat pakar akademik dalam bidang perundangan dan perlembagaan berhubung cadangan pindaan tersebut.
Selain mengalu-alukan penyertaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengemukakan pandangan secara bertulis termasuk bantahan, cadangan, kritikan dan pilihan alternatif berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, perbincangan awal menunjukkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bersetuju bahawa pemisahan jawatan berkenaan diperlukan, namun memerlukan penelitian lebih mendalam.
Jawatankuasa juga akan meneliti keseluruhan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan termasuk peruntukan melibatkan Perkara 42, 132, 138 dan 145 serta cadangan peruntukan baharu Perkara 145A dan 145B.
Menyentuh mengenai sama ada Peguam Negara boleh dipanggil ke Parlimen pada masa hadapan, Datuk Seri Azalina berkata masih terlalu awal untuk memberikan kenyataan terperinci namun Peguam Negara, sebagai penasihat undang-undang kerajaan, boleh hadir di Parlimen.