fb fb fb fb fb

Peranan Malaysia sebagai pemudah cara konflik Kemboja-Thailand cermin kematangan diplomasi

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Manet (kiri) dengan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai (kanan)

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Peranan Malaysia sebagai pemudah cara bagi menangani konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja mencerminkan kematangan diplomasi serta kepimpinan negara yang sentiasa mengutamakan kestabilan dan keamanan serantau.

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, langkah itu turut memperkukuh kedudukan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan sebagai sebuah negara yang disegani, bukan sahaja dalam kalangan negara-negara serantau, malah di peringkat antarabangsa.

"Malaysia telah memperlihatkan prestasi luar biasa sebagai Pengerusi ASEAN dalam tempoh tujuh bulan pertama, apabila berjaya memainkan peranan sebagai moderator dalam menyelesaikan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja.

"Pertemuan rundingan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengambil masa beberapa jam untuk mencapai kata sepakat, termasuk persetujuan terhadap gencatan senjata dan pembukaan semula sempadan antara kedua-dua negara.

"Kejayaan ini membuktikan kemampuan kepimpinan Malaysia dan kebolehan negara dalam menangani sebarang konflik serantau dengan berkesan," katanya ketika dihubungi RTM.

Hasil daripada pendekatan tersebut, negara-negara ASEAN kini semakin peka dan bersedia mengutamakan perbincangan secara aman dalam menyelesaikan sebarang pertikaian, sekali gus mengelakkan krisis pada masa depan.

"Impak penyelesaian konflik ini terhadap semua negara anggota ASEAN ialah ia dapat meningkatkan kepekaan ahli-ahli untuk berusaha berunding dan menggunakan pendekatan diplomasi sebelum berlakunya krisis atau konflik pada masa akan datang.

"Selain itu, konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja menjadi pengajaran kepada negara-negara anggota agar mendahulukan kerjasama antara satu sama lain berbanding terjerumus ke dalam konflik," tambahnya.

Perpaduan unik Malaysia yang kukuh walaupun terdiri daripada pelbagai etnik dan bangsa perlu dijadikan contoh dan teras kepada semua negara anggota ASEAN.

Ia merupakan langkah penting dalam memastikan ASEAN bangkit sebagai sebuah rantau yang disegani dan berdaya saing di pentas dunia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI