IPOH, 26 Mac- Perak akan mengumumkan kadar baharu tarif air selepas Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kadar baharu itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan dijamin tidak membebankan pengguna.
Kadar baharu itu, sebelum ini dijangka diumumkan pada awal bulan Mac.
"Kadar sudah ada, kita akan umum selepas Aidilfitri. Kita nak bagi orang beraya dengan seronoknya. Ia tidak membebankan sangat, cuma nak bagi orang jangan runsing, tidak membebankan", katanya pada sidang media sempena Program Riang Ria Raya, Promosi dan Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT) di Padang Bangunan Seri Perak Darul Ridzuan, Ipoh.
Pihak Lembaga Air Perak (LAP) sebelum ini telah membincangkan mengenai kadar baharu tarif air di negeri itu sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan dalam mesyuarat exco.
Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air di seluruh Semenanjung dan Labuan melibatkan kenaikan purata sebanyak 0.22 sen bagi setiap meter padu.
Sementara itu, Perak menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan produk Industri Asas Tani (IAT) yang berkebolehan memasarkan produk mereka ke luar negara.
Saarani berkata, pihaknya menerusi Jabatan Pertanian negeri giat mengenal pasti usahawan yang berpotensi untuk diberi bimbingan.
Ini termasuk menggalakkan mereka menghadiri pelbagai kursus dan khidmat nasihat bagi tujuan memperkasa produk dari aspek kualiti dan pembungkusan.
"Perlu bimbing bantu mereka. Pertama dia perlu dapat sijil halal, sijil amalan pemakanan baik, dan juga pembungkusan yang menarik.
"Jadi kita akan membantu dan membimbing mereka untuk memperkenalkan produk ini. Setelah mereka mengenali dan mengenal pasti rakan niaga di peringkat antarabangsa, kita akan lepaskan dia untuk berurusan sebagaimana usahawan yang berjaya.
Tambahnya, sehingga Januari 2024, seramai 529 usahawan IAT telah berdaftar dengan Jabatan Pertanian Perak dan menjalankan perniagaan secara aktif.
Nilai jualan keseluruhan produk pada 2023 adalah sebanyak RM65.52 juta dengan jumlah pengeluaran sebanyak 16.28 tan metrik.