fb fb fb fb fb

Penyertaan Malaysia di MWC2024 beri impak positif

Fahmi Fadzil

BARCELONA, 28 Februari- Penyertaan Malaysia di Kongres Mudah Alih Sedunia 2024 (MWC2024) meninggalkan kesan sangat positif dan berjaya menarik minat banyak syarikat-syarikat telekomunikasi dan peralatan telekomunikasi antarabangsa kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di sini.

Beliau berkata penyertaan julung kali itu, Malaysia mempunyai sebuah astaka yang disertai 15 agensi serta syarikat tempatan yang mempamerkan inisiatif dan pencapaian masing-masing selain meletakkan negara di mata dunia.

"Rata-rata maklum balas yang diterima dari pelbagai pihak 'Pavillion Malaysia’ menjadi buah mulut dan percakapan orang lain. Antaranya kerana pelbagai aktiviti yang dilaksanakan termasuk siri memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandangani kita serahkan antara pelbagai pihak antara syarikat telekomunikasi malaysia dan pelbagai syarikat.

"Ini petanda yang cukup positif kerana MWC2024 Barcelona merupakan acara yang terbesar di dunia. Ia mengumpulkan semua penyedia perkhidmatan sama ada syarikat-syarikat telekomunikasi atau peralatan telekomunikasi," katanya sebelum berlepas ke Oslo, Norway, bagi mengetuai delegasi Malaysia menghadiri sesi 'Meja Bulat Komunikasi Generasi Seterusnya' anjuran syarikat gergasi telekomunikasi Norway Telenor Group.

Fahmi dijadualkan menghadiri perbincangan itu pada 29 Februari hingga 1 Mac ini.

Beliau akan bertemu dengan presiden dan ketua pegawai eksekutif Telenor Sigve Brekke, timbalan ketua Telenor Asia, Håkon Bruaset Kjøl, bersama-sama dengan wakil Telenor Asia dan pakar-pakar kumpulan untuk berkongsi perspektif tentang 5G, inovasi dan nilai pemacuan daripada teknologi.

Perbincangan meja bulat itu akan disertai wakil daripada kerajaan Norway, Norwegian Communications Authority, pakar-pakar Telenor dan perintis industri serta rakan kongsi luaran Digital Norway dan persatuan perniagaan, Abelia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI