KOTA BHARU, 13 Mac- Aktiviti penyeludupan haiwan ternakan khususnya lembu di kawasan sempadan Malaysia-Thailand mengakibatkan penternak haiwan terbabit di empat negeri bersempadan terjejas teruk.
Negeri terlibat adalah Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, lebih 70,000 ekor lembu seludup direkodkan di empat negeri terlibat sepanjang tahun lalu.
Jumlah berkenaan diakui tinggi dan penternak tempatan terpaksa bersaing daripada segi harga dengan harga lembu di sebelah negara jiran yang jauh lebih murah.
Hal tersebut juga mengakibatkan harga daging dijual murah berbanding harga di sebelah pantai barat.
Justeru itu, beliau mahu masalah terbabit ditangani dan diatasi pihak berkenaan supaya keadaan tidak menjadi semakin teruk.
"Saya tekankan ini sudah lama. Pihak kementerian yang bertanggungjawab kena bertegas, jaga sempadan. Kalau tidak ia memang menjejaskan penternak tempatan berikutan penyeludupan.
Ini pula kita tidak tahu soal penyakit dan sebagainya. Saya nampak memang kawalan mesti diperketat. Kalau kita nak membantu penternak tempatan, maknanya Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah bersama-sama pihak berkuasa jaga sempadan dan bertindak lebih tegas," kata Datuk Seri Mohamad kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui media selepas Majlis Berbuka Bersama Warga KPKM, di Kota Bharu yang turut di hadiri, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.
Sementara itu, Datuk Seri Mohamad memaklumkan bekalan beras putih tempatan (BPT) sudah berada dalam pasaran di seluruh negara.
Menurut beliau, pihaknya sudah mencari jalan penyelesaian buat sementara waktu bagi menyelesaikan bekalan beras.
Media sebelum ini melaporkan bekalan beras putih tempatan (BPT) bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) dijangka berada di pasaran sepenuhnya dalam minggu ini.