fb fb fb fb fb

Pensyarah UPM berjaya kaji 18 etnik Orang Asli Semenanjung

Foto kenangan Profesor. Madya Dr. Mohd Roslan Rosnon ketika menjalankan penyelidikan beliau di sekitar kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia/Foto UPM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos- Kejayaan seorang pensyarah tempatan mengkaji kewujudan 18 etnik Orang Asli di Semenanjung Malaysia, memahat lembaran baharu dalam bidang penyelidikan.

Ketika ini terdapat kira-kira 215,000 Orang Asli dengan 18 suku kaum di sekitar Semenanjung Malaysia iaitu terdiri daripada Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala, Orang Seletar, Semelai, Bateq, Jahai, Kensiu, Kintak, Lanoh, Mendriq, Che Wong, Jahut, Mahmeri, Semai, Semoq Beri dan Temiar.

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor. Madya Dr. Mohd Roslan Rosnon, keunikan dan kepelbagaian suku kaum tersebut telah menyuntik minat beliau untuk mendalami komuniti Orang Asli.

“Walaupun ada pelbagai kajian mengenai masyarakat Orang Asli namun, banyak isu Orang Asli yang belum dapat diselesaikan dan saya memilih untuk meneruskan legasi kajian tersebut kerana kita kekurangan pakar dalam bidang ini,” kata Dr. Mohd Roslan dalam kenyataan media UPM.

Jelasnya, masyarakat Orang Asli adalah golongan etnik minoriti di negara tetapi mereka sudah berintegrasi dan menerima pembangunan.

Namun, isu kemiskinan masih membelenggu komuniti berkenaan kerana lokaliti dan sumber ekonomi yang terhad.

Anak jati Kuala Lumpur yang berkepakaran dalam Antropologi dan Sosiologi pengkhususan Indigenous Studies dan pembangunan komuniti berkata, beliau telah berkecimpung dalam kajian Orang Asli selama 16 tahun, tidak canggung berkunjung ke perkampungan Orang Asli ketika menjalankan penyelidikannya.

“Di Semenanjung Malaysia, kita mempunyai hampir 864 kampung masyarakat Orang Asli dan apabila saya perlu menjalankan penyelidikan, saya akan ke kampung Orang Asli berkenaan untuk mendalami cara hidup mereka dan turut memberi fokus kepada budaya mereka,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman ketika melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD), dengan menjalankan kajian perbandingan komuniti Orang Asli Semenanjung Malaysia dan Aborigine People di Australia.

Selain Australia, kepakaran beliau turut dirujuk oleh beberapa negara luar lain seperti New Zealand, Indonesia dan Thailand.

Pada tahun 2017, Dr. Mohd Roslan telah berjaya memenangi Anugerah Jaringan Industri dan Komuniti Berimpak Tinggi (ICAN) 2019 untuk kategori Rakan Komuniti Terbaik menerusi program Pemerkasaan Murid Orang Asli yang telah dijalankan selama tiga tahun.

Pada 2019 pula, buku tulisannya iaitu Pembangunan Kontemporari Orang Asli dinobat sebagai pemenang Anugerah Buku Negara.

Beliau kini sedang bergiat aktif menjalankan kajian Semakan Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] dan Kesejahteraan Orang Asli serta dilantik sebagai Penyelaras Pembangunan Sosial & Multiculturalism, World University Association of Community Development (WUACD) yang memberi fokus kepada masyarakat peribumi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM