Bakat intelek muda aset strategik negara

Pelajar SMK Jalan Tasek, Ipoh melihat keputusan STPM 2025/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Bakat intelek muda mesti diurus dan dibentuk sebagai aset strategik negara melalui sokongan bersepadu, bukan hanya kejayaan peperiksaan.
  • Kerajaan perlu terus menyediakan peluang pengajian, biasiswa dan bantuan kewangan bagi memastikan pelajar cemerlang tidak tercicir.
  • Ekosistem inklusif melibatkan universiti, industri, keluarga dan masyarakat penting untuk mengasah bakat, wujudkan pekerjaan tinggi dan elak penghijrahan bakat.

Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 merekodkan pencapaian tertinggi dalam sejarah apabila seramai 1,336 pelajar mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00. Prestasi yang cukup membanggakan ini membuktikan negara kita tidak pernah ketandusan bakat muda yang cemerlang.

Jelas sekali mereka ini adalah kelompok bakat intelek muda yang bakal mencorakkan masa depan masyarakat dan negara kita kelak. Maka aspek penting sekarang ialah keperluan untuk semua pihak mengurus dan membentuk mereka menjadi aset strategik negara.

Ironiya semua pihak perlu memahami falsafah betapa kejayaan yang diperolehi dalam sesuatu peperiksaan di peringkat sekolah bukan penamat, tetapi titik permulaan dalam usaha membangunkan modal insan yang bakal menentukan masa depan negara.

Inisiatif ini mencakupi komitmen dan kerjasama pelajar, ibu bapa, sistem pendidikan negara serta kerajaan secara keseluruhannya.

Secara prinsipnya kita perlu akui bahawa kejayaan dalam peperiksaan STPM serta SPM sebelum ini membuktikan sistem pendidikan negara kita berada pada tahap yang terbaik dan berjaya melahirkan pelajar yang berkualiti.

Ribuan anak muda dengan semangat juang yang tinggi serta keinginan dan iltizam untuk mengubah nasib diri dan keluarga telah berusaha sungguh-sungguh sehingga pada akhirnya mampu mencapai kejayaan yang cemerlang.

Kelompok hebat ini boleh dikatakan sudah memiliki daya fikir yang kritis, disiplin yang tinggi dan semangat ingin berjaya yang kuat. Jujurnya mereka kini merupakan sumber modal insan yang amat bernilai dalam era ekonomi berasaskan ilmu, kemahiran dan pengetahuan.

Justeru, fokus kita sekarang perlu beralih kepada inisiatif bersepadu dalam memberi penekanan besar terhadap aspek pembangunan bakat masa depan.

Inilah dilakukan oleh negara-negara maju yang sering menjadi penanda aras dalam aspek pendidikan yang hebat di Eropah seperti Finland dan Switzerland mahu pun di Asia seperti Korea Selatan dan Jepun kerana menyedari sumber manusia adalah aset utama negara.

Dalam konteks ini inisiatif kerajaan yang menyediakan peluang dan jaminan tempat untuk pelajar yang cemerlang sambung belajar di universiti adalah satu langkah penting yang amat penting dan strategik.

Ini membolehkan tiada pelajar cemerlang yang tercicir sekali gus kita dapat mengurus dan membentuk bakat intelek negara ini pada kedudukan yang sewajarnya.

Peluang untuk menyambung pengajian baik di peringkat matrikulasi, diploma mahu pun ijazah pertama yang disediakan oleh pelbagai institusi pendidikan negara membolehkan anak-anak ini meneruskan cita-cita selain menjadi aset strategik masa depan negara ini.

Ini ditambah pula dengan pelbagai jaminan bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan dan pelbagai agensi lain demi memastikan anak yang cemerlang terutamanya dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana tidak terhalang untuk menyambung pengajian dek kerana masalah kewangan keluarga.

Hal ini penting kerana hampir setiap tahun kita masih kedengaran ada pelajar cemerlang yang berhadapan dengan masalah kewangan untuk mendaftar masuk ke universiti.

Dalam konteks ini kita hargai bantuan kerajaan seperti tawaran biasiswa bagi melanjutkan pengajian di universiti awam seluruh negara kepada semua 18 pelajar terbaik STPM 2025 peringkat kebangsaan.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, inisiatif julung kali diperkenalkan bagi kohort STPM 2025 itu adalah sebahagian usaha dalam mengukuhkan ekosistem prauniversiti negara, terutama pelajar Tingkatan Enam.

Pelaksanaan inisiatif itu sekali gus membolehkan penerima mendapat tempat di Universiti Awam (UA) seluruh negara untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Pada masa sama khabar gembira juga menanti pelajar cemerlang SPM 2025 di mana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan 640 penajaan sebagai usaha berterusan memperkukuh pembangunan bakat negara selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Peluang seperti ini membolehkan pelajar cemerlang negara terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti di institusi pengajian tinggi terkemuka dalam dan luar negara.

Hakikatnya bakat intelek yang ada tidak akan berkembang secara automatik kerana secara umumnya kecemerlangan akademik sahaja tidak menjamin seseorang individu itu akan berjaya sama ada menjadi pemimpin, saintis, inovator mahupun usahawan yang berjaya.

Sebaliknya, pengurusan dan pengembangan bakat ini memerlukan ekosistem yang memberikan sokongan penuh dalam pelbagai aspek, yakni peluang untuk menyambung pengajian dalam bidang yang diminati serta di institusi yang terbaik selain bantuan kewangan yang sewajarnya seperti yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan pada ketika ini.

Dalam konteks ini besarlah harapan kita agar kelompok ini seterusnya diberikan peluang yang sewajarnya untuk memasuki alam pekerjaan yang setimpal dengan bakat, kualiti dan kelayakan masing-masing. Ini penting demi mengelak isu pembaziran modal insan mahupun penghijrahan bakat.

Kita perlu sedar bahawa negara telah melabur bertahun-tahun demi menyediakan peluang pendidikan yang terbaik sehingga mereka mampu kecapi kejayaan yang cemerlang, namun jika bakat terbaik ini gagal mendapat peluang yang setimpal, negara berisiko kehilangan mereka kepada negara lain.

Jadi perlu ada usaha berterusan untuk kita meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang boleh menawarkan pakej pekerjaan setimpal dengan kelayakan dan bakat semula jadi mereka.

Semoga pelbagai inisiatif reformasi ekonomi yang sedang dilaksankan oleh kerajaan pada ketika ini mampu menangani masalah graduan seperti ketidakpadanan peluang pekerjaan serta fenomena graduan cemerlang bekerja di bawah tahap kelayakan.

Ironinya isu pengurusan bakat sebagai aset strategik negara perlu terus diangkat sebagai agenda utama di peringkat nasional. Hal ini penting kerana tanggungjawab membangungkan modal insan tidak boleh diserahkan kepada institusi pendidikan semata-mata.

Sekolah dan universiti berperanan mengenal pasti serta membentuk potensi awal pelajar, namun usaha melahirkan individu berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara memerlukan penglibatan pelbagai pihak.

Misalnya kita perlu menyediakan dasar yang jelas, inklusif dan berorientasikan masa depan bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan berbakat untuk berkembang mengikut potensi masing-masing.

Inisiatif ini perlu bergerak seiring dengan usaha pihak universiti yang terus memperkukuh budaya ilmu, penyelidikan dan inovasi agar bakat yang ada dapat diasah secara berterusan.

Dalam konteks ini, pihak industri pula perlu menjadi rakan strategik dengan menyediakan ruang aplikasi pengetahuan, latihan profesional dan pengalaman dunia sebenar kepada golongan muda.

Masyarakat juga mempunyai tanggungjawab penting untuk menghargai kecemerlangan dan mewujudkan budaya yang mengiktiraf pencapaian intelektual sebagai aset yang bernilai kepada negara.

Tuntasnya, keputusan peperiksaan awam membuktikan Malaysia mempunyai ramai bakat intelek muda yang pintar, rajin dan berpotensi tinggi. Justeru jika mereka diurus, dibimbing dan diberikan peluang yang sewajarnya, pasti akan menjadi aset strategik yang bakal melonjakkan kedudukan negara pada masa hadapan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: nmohd77@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.