
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof
KLANG 12 November – Pembangunan teknologi tenaga boleh baharu (TBB) perlu disokong standard keselamatan yang jelas bagi memastikan teknologi berkenaan selamat digunakan serta tidak mendatangkan risiko kepada pengguna dan orang ramai.
- Pensijilan BESS penting untuk memastikan sistem bateri mematuhi standard keselamatan, mengurangkan risiko letupan dan kebakaran.
- Projek Perintis Pensijilan BESS di Kapar membangunkan rangka pensijilan bersesuaian dengan keperluan operasi negara.
- Sistem penyimpanan bateri membolehkan lebihan solar disimpan, digunakan semula malam hari dan membantu menstabilkan grid.
- Kerjasama kementerian, JSM dan Suruhanjaya Tenaga diperlukan untuk standard pensijilan di peringkat nasional, ASEAN dan global.
Sehubungan itu, pembangunan pensijilan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) penting bagi memastikan setiap sistem bateri yang dipasang mematuhi standard keselamatan ditetapkan, sekali gus mengurangkan risiko letupan dan kebakaran.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan Projek Perintis Pensijilan BESS oleh BESSC Sdn Bhd di Kapar, Selangor merupakan langkah penting dalam membangunkan kerangka pensijilan yang bersesuaian dengan keperluan serta keadaan operasi sistem tenaga negara.
“Kemajuan teknologi tenaga boleh baharu, khususnya solar, turut membawa cabaran kepada kestabilan grid elektrik berikutan penjanaannya yang bergantung pada keadaan cuaca dan tempoh pancaran matahari.
“Justeru, penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri membolehkan lebihan tenaga yang dijana pada waktu siang disimpan untuk digunakan semula pada waktu malam, selain membantu menstabilkan bekalan elektrik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Perintis Pensijilan BESS oleh BESSC Sdn Bhd di Kapar, pada Khamis.
Dalam pada itu, kerajaan terus memperluas pembangunan tenaga boleh baharu dengan menetapkan sasaran 35 peratus kapasiti penjanaan tenaga daripada sumber berkenaan menjelang 2030, sebelum meningkat kepada 70 peratus pada 2050.
Bagi menyokong usaha itu, beberapa inisiatif turut dilaksanakan, termasuk program MyBEST yang melibatkan tender kapasiti bateri sebanyak 400 megawatt dengan keupayaan penyimpanan tenaga sehingga 1,600 megawatt jam.
Program Solar Berskala Besar Pusingan Keenam (LSS6) pula mensyaratkan penyertaan sistem bateri berkapasiti 1,250 megawatt dengan keupayaan penyimpanan tenaga sehingga 5,000 megawatt jam.
Datuk Seri Fadillah berkata, pembangunan teknologi semata-mata tidak mencukupi sekiranya aspek keselamatan tidak diberikan perhatian sewajarnya.
“Tidak memadai jika kita hanya mempunyai teknologi. Kita juga perlu memastikan teknologi yang dibawa masuk ke negara ini selamat digunakan.
“Justeru, inisiatif ini menyediakan sistem pemantauan keselamatan serta membangunkan standard bagi memastikan bateri yang dipasang memenuhi syarat dan piawaian ditetapkan.
“Pensijilan ini amat penting bukan sahaja untuk melindungi pengguna, malah mengelakkan kejadian seperti letupan dan kebakaran yang boleh membahayakan pengguna serta orang ramai,” katanya.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan terlibat dalam pembangunan teknologi penyimpanan bateri, termasuk pembuatan komponen, dan bukan hanya tertumpu kepada kerja pemasangan.
Menurutnya, pembangunan standard pensijilan itu juga memerlukan kerjasama semua kementerian, Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) supaya dapat dijadikan panduan bukan sahaja di dalam negara, malah pada peringkat ASEAN dan global.
Usaha berkenaan berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur, memperkukuh industri teknologi tinggi serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem tenaga bersih negara.