fb fb fb fb fb

Penjimatan tidak jejas aspek keselamatan negara

PUTRAJAYA, 19 Julai- Aspek keselamatan tidak akan terjejas ekoran sasaran penjimatan lima peratus daripada baki Peruntukan Mengurus 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penyusunan semula peruntukan itu melibatkan aspek pembangunan yang belum dilaksanakan atau dalam perancangan.

"Kem bina pos keselamatan di kawalan sempadan itu semua tidak akan terjejas, aspek keselamatan menjadi keutamaan. Ini bermakna Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak perlu mengguna pakai polisi lima peratus tersebut.


(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditemui media
selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022)

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed akan memberikan perincian mengenai langkah penjimatan perbelanjaan tersebut.

"Aset keselamatan dan perkara yang berkaitan keselamatan tidak akan terjejas", katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN'22) di Putrajaya.

Dalam pada itu, kerajaan juga memberi jaminan tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara berhubung tuntutan kumpulan Sulu kepada kerajaan Malaysia.

Tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, aset dan harta di luar negara akan dilindungi secara perundangan.

"Tindakan sedang diambil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan memberi penjelasan.

"Pasukan khas ditubuhkan untuk melihat perkara ini secara menyeluruh, tidak hanya melibatkan aset Petronas, juga termasuk aset-aset lain di luar negara.

"Ada banyak lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai aset di luar negara dan ini akan dilihat secara keseluruhan. Ia merupakan tanggungjawab pasukan khas tersebut", katanya.

Media Baharu