TAIPING, 23 Januari - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melaksanakan penjenamaan semula secara berperingkat sejak 2020 bagi memastikan identiti dan imej korporatnya terus disegani serta mendapat kepercayaan penuh daripada masyarakat.
Menurut Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim, penjanaan semula itu melibatkan penambahbaikan secara menyeluruh yang merangkumi aspek pengoperasian, identiti produk serta imej cawangan PTPTN di seluruh negara.
Jelas beliau, PTPTN terus komited dalam menjalankan fungsinya melalui penyediaan pinjaman pendidikan, pengurusan bayaran balik pinjaman serta pembudayaan penabungan.
Ini bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
"Hingga 31 Disember 2023, pinjaman PTPTN telah memberi manfaat kepada 3.95 juta peminjam dengan pengeluaran pinjaman berjumlah RM71.32 bilion. Hasil manfaat pinjaman ini, PTPTN telah dapat membantu melahirkan golongan cerdik pandai yang berjaya dalam lapangan kerjaya masing-masing sekali gus menjadi aset penting kepada negara kita," Norliza berucap pada Majlis Perasmian Pejabat PTPTN Cawangan Taiping, di sini.
Ia merupakan cawangan ketiga dibangunkan dengan penjenamaan baharu daripada PTPTN.
Melalui pembukaan cawangan terbaharu itu, ia akan mengukuhkan lagi identiti korporat dan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat kepada PTPTN.
Pada majlis sama, PTPTN telah menyampaikan hadiah kepada lima pemenang Kempen Cabutan Bertuah Jom Bayar PTPTN negeri Perak dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,000 dalam bentuk akaun Simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
"Perasaan itu gembira la kan, sebabnya kita tidak jangka apabila buat bayaran ini ada peraduaan yang seperti ini cabutan untuk pembayar gembira dan tidak sangka lah," kata pemenang cabutan bertuah, Noor Asmahani Abdul Ghani.
"Sebab PTPTN ini saya dapat sambung belajar tanpa minta duit daripada ibu bapa saya dan saya tidak perlu tunggu untuk setiap bulan untuk masuk duit daripada akaun setiap semester.PTPTN akan masukkan duit tepat pada masa dan duit itu dapat bantu untuk menampung perbelanjaan harian termasuk pelajaran saya," pelajar G.Kanthini
"Saya suka dengan sistem ini, sangat memudahkan urusan saya untuk bayar, lebih selesa lah dengan cawangan di tempatkan di sini," kata Musliani Mustafa Abu Bakar
Sebanyak 58 pejabat PTPTN negeri dan cawangan telah beroperasi di seluruh negara serta Sabah dan Sarawak sejak 2012 hingga kini.
Ini termasuk Pejabat PTPTN Negeri Perak yang telah beroperasi pada 2012 di Ipoh selain merupakan antara terawal ditubuhkan.