Penjawat awam sambut baik cuti tambahan Aidilfitri

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Rata-rata Penjawat awam menyambut baik pengumuman cuti tambahan sempena Aidilfitri yang disifatkan memberi kelegaan khususnya kepada mereka yang bekerja jauh daripada keluarga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cuti tambahan memudahkan perancangan perjalanan pulang ke kampung tanpa tergesa-gesa.
  • Mengurangkan tekanan perjalanan dan membantu mengelakkan kesesakan jalan raya.
  • Memberi peluang meluangkan masa lebih lama bersama keluarga di kampung.
  • Penjawat awam menghargai pengumuman dan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik.

Siti Nurulain Zainal Abidin berpendapat cuti tambahan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, membantunya merancang perjalanan pulang ke kampung tanpa perlu tergesa-gesa.

“Satu perkara yang menggembirakan seluruh rakyat Malaysia, khususnya kami yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam.

“Dengan adanya cuti tambahan ini, ia dapat membantu terutamanya mereka yang bekerja jauh daripada keluarga untuk merancang perjalanan pulang bercuti dengan lebih selamat, tidak tergesa-gesa dan lebih selesa,” katanya kepada RTM.

Sementara itu, Mohd Faizol Safran bersyukur dan menghargai pengumuman berkenaan.

“Ia sangat membantu kami merancang perjalanan pulang ke kampung dengan lebih teratur, sekali gus dapat mengurangkan tekanan perjalanan pada musim perayaan serta memberi peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga.

“Kami akan kembali bekerja seperti biasa dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Terima kasih kepada Kerajaan Malaysia,” katanya.

Muhammad Syurahbil Hashim turut menyuarakan pandangan sama susulan pengumuman cuti tambahan sempena Aidilfitri.

“Saya berasa sangat gembira dengan pengumuman cuti tambahan ini kerana ia memudahkan perancangan kami untuk pulang ke kampung, memandangkan kos sekarang semakin tinggi,” katanya.

Manakala bagi Siti Rasihah Madli, cuti tambahan berkenan memberi ruang kepada penjawat awam meluangkan lebihan masa bersama keluarga.

“Sebenarnya ia sesuatu yang sangat menggembirakan dan bagus kerana kami bekerja jauh dari kampung. Jadi, dengan adanya cuti tambahan ini, kami boleh merancang perjalanan dengan lebih baik.

“Ia juga boleh mengelakkan kesesakan jalan raya dan yang paling penting dapat meluangkan masa lebih lama bersama keluarga di kampung sebelum kembali bertugas dengan lebih produktif,” katanya.