KUALA LUMPUR, 21 Jun- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM6.48 juta bagi pengurusan mualaf sepanjang tahun ini.
Menurut Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Mohd Fadzil Abu Kasim, sebanyak RM1.88 juta daripada jumlah itu dibelanjakan untuk pembayaran saguhati kehadiran pelajar Kelas Pengajian Mualaf JAWI di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
"Amat bersyukurlah sebab MAIWP telah membina kompleks Darul Hidayah ini dan menyerahkan kepada JAWI untuk kita urus tadbir kelas-kelas pengajian untuk saudara saudara baharu ataupun kelas-kelas pengajian Islam untuk mualaf.
"Kewujudan kompleks Darul Hidayah amat memberi kesan kepada usaha kita untuk memberi pendedahan memberi pengajaran agama kepada mualaf untuk mereka lebih memahami dan menghayati Islam sebagai cara hidup," kata Mohd Fadzil selepas merasmikan Majlis Apresiasi Kelas Pengajian Mualaf di Kompleks Darul Hidayah di ibu negara.
Selain Kompleks Darul Hidayah, kelas pengajian mualaf juga diperluas di tujuh buah masjid terpilih sekitar ibu negara bagi membuka lebih banyak peluang pembelajaran tentang ilmu asas Islam kepada para mualaf.
Sebanyak 33 pelajar memperoleh Sijil Tamat Pengajian manakala 21 orang daripadanya menetima anugerah kategori cemerlang dan terbaik.
Penganjuran majlis yang dilaksanakan semenjak tahun 2018 itu dilihat mampu memberi suntikan semangat dan galakan kepada para pelajar untuk lebih giat berusaha meningkatkan tahap pencapaian masing-masing dalam pengajian agama Islam.
"Dekat Kedah ini saya rasa tidak susah, tempoh mereka 1 tahun 6 bulan sahaja. Tapi dalam tempoh itu malam pun ada belajar. Sini ustaz ustazah semua banyak bagus. Saya dapat banyak ilmu," kata penerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan (Mualaf Lelaki, Muhammad Sugumaran Rajagopal.
(MAIWP memperuntukkan sebanyak RM6.48 juta bagi pengurusan mualaf sepanjang tahun
ini)