IPOH, 10 Mei- Pengguna Jalan Raya Timur Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik ke Jeli diminta berhati-hati dengan kehadiran gajah yang sering berkeliaran di kawasan itu seperti yang tular menerusi beberapa rakaman video.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata pengguna jalan raya perlu memperlahankan atau berhentikan kenderaan dan mengambil jarak selamat bagi membolehkan gajah itu masuk semula ke hutan sekiranya bertembung dengan haiwan berkenaan.
"Pengguna jalan raya diharapkan tidak melakukan provokasi atau terlalu berani menghampiri gajah berkenaan.
"Ini kerana terdapat potensi besar gajah itu menyerang orang yang menghampirinya yang boleh membawa kecederaan atau kematian seperti yang pernah dilaporkan berlaku sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata berdasarkan penelitian terhadap video yang tular, Perhilitan percaya ia merupakan gajah sama yang sering dilihat berkeliaran di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) berhampiran Puncak Banjaran Titiwangsa untuk mencari makanan.
Katanya gajah yang berkeliaran di kawasan terbabit sudah biasa dengan kehadiran manusia dan kenderaan namun pengguna jalan raya perlu berwaspada dan mengambil maklum beberapa papan tanda amaran yang telah dipasang Perhilitan.
Baru-baru ini, tular beberapa rakaman video yang dikongsikan pengguna JRTB yang memaparkan kehadiran gajah di tepi jalan serta melintas jalan selain ada yang bertindak menghampirinya dan memanggil haiwan itu sehingga menunjukkan reaksi menendang ke arah mereka.- BERNAMA
(Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff)