KUALA LUMPUR, 22 September - Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Solaris Dutamas menjadi tumpuan orang ramai untuk menukar atau menggantikan MyKad, terutama yang mengalami masalah pada cip.
Tinjauan RTM mendapati orang ramai mula berurusan seawal pukul 8.00 pagi bagi urusan harian seperti transaksi perbankan, rawatan kesihatan dan akses kepada bantuan kerajaan, termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Bagi Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Nizam Daud, 57, keputusannya menukar MyKad dibuat selepas lebih 10 tahun menggunakan kad yang lama.
"Sekarang banyak bantuan kerajaan guna kad pengenalan, termasuk subsidi minyak pun kena guna MyKad. Takut kalau tiba-tiba rosak, urusan lain jadi susah," katanya.
Pegawai bank,S. Elilarasi, 43 pula menukar MyKadnya disebabkan terdapat kerosakan pada cip menyebabkan urusannya tergendala ketika membuat pembelian menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kali ke dua.
"Cip rosak, kali pertama kali boleh buat pembelian, kali kedua tak boleh, jadi saya perlu tukar MyKad." katanya.
Seorang pekerja swasta, Badrul Hisham Zamli juga turut berhadapan perkara yang sama selepas tidak dapat membuat pembelian menggunakan bantuan SARA apabila cip pada kad pengenalannya itu rosak.
"Cip rosak pergi kedai nak beli barang, tak boleh, jadi kena tukar juga," katanya.
Sementara itu, pekerja Perkhidmatan Chen Wai Keat,29 berkata dia juga membuat penggantian mykad kerana masalah cip yang rosak.
"Cip rosak sedikit pun, saya buat penggantian baru," katanya.
Seorang usahawan, Jamilah Ahmad,42 datang membuat penggantian kerana masalah MyKad yang rosak dan patah.
"Saya belum guna MyKad untuk bantuan kerajaan lagi, tapi rasanya sistem bantuan melalui MyKad lebih baik daripada sebelumnya," katanya.
Urusan berkaitan MyKad menjadi tumpuan susulan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengingatkan orang ramai untuk segera memeriksa MyKad bagi memastikan cip berfungsi dengan baik.
MyKad yang berfungsi menjadi kunci utama bagi pelbagai urusan rasmi dan akses kepada sistem bantuan kerajaan, termasuk RON95 yang akan dilaksanakan pada 30 September, justeru fungsinya perlu dipastikan berada dalam keadaan baik.
Orang ramai boleh mengunjungi kaunter JPN di seluruh negara bagi urusan pembaharuan MyKad dengan bayaran sebanyak RM10 sahaja atau secara percuma sekiranya berlaku kerosakan berlaku dalam tempoh 12 bulan dari tarikh serahan kad.
Selain kaunter JPN, permohonan atau penggantian MyKad juga boleh dibuat melalui bas dan van bergerak MEKAR, talian MyPhone-In dan secara dalam talian JPN e-Services.