fb fb fb fb fb

Pengganti Mutang belum diputuskan - Fadillah

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Mei- Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sedang dalam peringkat akhir untuk disiapkan. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, walaubagaimanapun, jangkaan tempoh untuk dilaksanakan sepenuhnya belum dapat diputuskan memandangkan ia perlu diedar kepada semua Majlis Kerja Tertinggi untuk kelulusan.

Jelas Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, MoU tersebut juga terus memfokuskan kepada pembangunan serta memulihkan ekonomi negara, selain mengelak perkara yang membangkitkan isu 3R (agama, raja dan kaum).

"Tapi perjanjian ini sedang dimuktamadkan draf and 'so on', tapi saya tidak tau di peringkat PN (Perikatan Nasional) pembangkang, ada yang kata tidak perlu 'agreement' (perjanjian) .. saya pun tidak tahu.

"Tapi kita akan siapkan draf itu dan akan berikan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) bersama-sama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di sini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan beberapa ahli kabinet yang lain.

Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai usaha kerajaan dalam memartabatkan lagi bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) berteraskan nilai-nilai Madani.

Manakala MOSTI akan terus memperkukuhkan NSC sebagai platform bagi menetapkan hala tuju dan dasar STI negara.

Dalam pada itu, Fadillah berkata kerajaan masih belum memutuskan mengenai bakal Yang di-Pertua Dewan Negara yang baharu susulan kematian mendiang Datuk Mutang Tagal pada Jumaat lepas.

Beliau berkata pengisian kekosongan tersebut tertakluk di bawah budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

"Siapa belum tahu lagi, daripada parti mana, negeri mana, kita belum tahu.

"Masih terlalu awal, belum ada, tidak tahu selalunya ini budi bicara Perdana Menteri untuk dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi tidak tahu, sama ada beliau akan berbincang dengan siapa-siapa, saya belum tahu sebab Perdana Menteri sedang sibuk di Qatar. Tunggu balik, tanya Perdana Menteri," katanya.

Jumaat lalu, Mutang, 69 tahun, meninggal dunia di Institut Jantung Negara.

Mendiang dipilih menjadi Speaker Dewan Negara ke-20 dan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari lalu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM