fb fb fb fb fb

Penggabungan MAVCOM-CAAM dilaksana pada 2025

Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA, 13 Jun- Penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dijadual dilaksana pada 2025 kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Perkara itu selepas, proses perundangan penggabungan kedua dua badan kawal selia berkenaan dibentang pada sidang parlimen Jun dan Julai.

Selain itu jemaah menteri juga bersetuju untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) pada sidang Parlimen akan datang.

"Untuk memangkinkan perkembangan industri penerbangan awam selari dengan hala tuju dasar kerajaan supaya lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

"Pembaharuan ini juga bertujuan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkatkan keberkesanan serta kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan," katanya dalam dalam sidang media di sini.

Langkah penggabungan itu juga diambil bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam perkhidmatan penerbangan awam.

Pada masa sama jaminan turut diberikan terhadap kedua-dua entiti berkenaan kerana ia tidak melibatkan sebarang pengurangan kakitangan sebaliknya kakitangan MAVCOM akan diserap dalam CAAM.

Dalam perkembangan lain kerajaan telah mengeluarkan notis penamatan konsesi pengerukan dan penambakan ke atas Integrated Marine Works Sdn Bhd, pada Selasa lalu.

Keputusan itu dibuat susulan pelanggaran syarat Perjanjian Konsesi Pengerukan dan Penambakan oleh IMW.

Jelas Anthony, antara terma perjanjian yang telah dilanggar oleh IMW adalah menukar pemegang saham tanpa kebenaran kerajaan.

"IMW telah menukar pemegang saham tanpa kebenaran kerajaan semasa perjanjian konsesi pengerukan dan penambakan ditandatangani.

"Syarikat IMW dimiliki sepenuhnya Inai Kiara Sdn. Bhd. Bagaimanapun, sekitar Julai 2023, Kementerian Pengangkutan (MOT) menerima makluman bahawa syarikat Inai Kiara telah pun digulung (wind up) melalui perintah gulung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 11 April 2023," katanya.

Bagaimanapun Kementerian Pengangkutan tidak akan melantik syarikat konsesi baharu susulan penamatan itu.

Sebaliknya, dasar yang baru akan digubal untuk menggalakkan pertumbuhan industri pengerukan dan penambakan di kalangan syarikat-syarikat tempatan yang lebih berdaya saing demi pembangunan pelabuhan-pelabuhan negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI