fb fb fb fb fb

Penemuan najis tikus, tiga premis makanan diarah tutup

Premis berkenaan tidak dapat membuktikan kesemua pengendali makanan mendapat suntikan anti-tifoid.

GEORGE TOWN, 17 Januari-Tiga premis makanan di George Town diarah tutup Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) susulan penemuan najis tikus di bahagian dapur dan stor penyimpanan makanan.

Pengarah Jabatan Pelesenan MBPP, M. Bawani berkata restoran yang menyajikan menu Timur Tengah, nasi kandar dan restoran masakan India diberi notis penutupan bermula hari ini sehingga 30 Januari.

"Antara kesalahan lain yang dikesan adalah perangkap minyak tidak diselenggara, meletak peralatan perniagaan hingga mendatangkan halangan di kaki lima, pencemaran silang yang mana bahan makanan dialas dengan kertas bercetak selain makanan mentah dan sudah dimasak disimpan bersama.

"Pemilik premis berkenaan gagal membuktikan kesemua pengendali makanan mendapat suntikan anti-tifoid.

"Notis penutupan selama 14 hari berkenaan mengikut Undang-undang Kecil 38(1) Undang-undang Kecil (Establisymen Makanan) MBPP 1991," katanya kepada pemberita di sini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM