fb fb fb fb fb

Penduduk Padang Besar gotong royong masak Nasi Lengat

PADANG BESAR, 13 Ogos- Sebanyak 20,000 pengunjung Karnival Merdeka Keluarga Malaysia@Padang Besar berpeluang menikmati hidangan Nasi Lengat yang disediakan oleh masyarakat Padang Besar sempena program kenduri rakyat.

Menu istimewa itu disediakan oleh 40 penduduk dari cawangan UMNO Bukit Chabang Selatan, Kokmak, Seri Kesinal, Sena Luar dan Felda Mata Ayer Utara yang memulakan kerja memasak 1,500 kilogram (kg) nasi lengat sejak pukul 6.30 pagi tadi.

Ketua Cawangan Umno Kampung Sena Luar Mohd Khir Mahmud berkata Nasi Lengat yang disediakan oleh 40 penduduk daripada lima cawangan UMNO itu adalah antara menu istimewa terdapat di Perlis.

"Nasi Lengat hampir sama dengan nasi kukus, namun penyedianya lebih mudah dan cepat. Ia mengambil masa kira-kira 40 minit untuk masak," katanya kepada Bernama ketika menyediakan nasi untuk tetamu program kenduri rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata selain Nasi Lengat, menu lain turut disediakan kepada pengunjung karnival seperti gulai daging batang pisang, ayam goreng, acar dan air sirap.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin bersama
penduduk Padang Besar / 
FOTO FB DatukZahidiZainul

Mohd Khir berkata karnival selama dua hari itu dapat memeriahkan kembali Padang Besar dan mengeratkan hubungan rakyat dalam Keluarga Malaysia setelah dua tahun tiada program besar dijalankan.

Karnival yang bermula semalam itu akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin hari ini. -BERNAMA

Media Baharu