fb fb fb fb fb

Pendigitalan PMKS, RM5 bilion diperuntuk kepada syarikat bumiputera

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR, 4 Mac- Sebanyak RM5 bilion diperuntuk kepada syarikat bumiputera menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) pada tahun ini.

Langkah itu adalah untuk meningkatkan usaha pendigitalan syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut berkata dana jaminan itu juga akan mengutamakan sektor pertumbuhan baharu selaras mendokong kerangka Ekonomi MADANI.

"Jaminan SJPP untuk syarikat kecil dan sederhana bumiputera, akan membantu melengkapkan pembiayaan yang diumumkan semasa Kongres Ekonomi Bumiputera bagi usahawan mikro melalui pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion."

"Untuk syarikat pemula dan pertumbuhan tinggi melalui dana ekuiti sebanyak RM1 bilion di bawah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)," kata Datuk Seri Amir kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan - Belanjawan 2024 di ibu negara.

Sementara itu, kadar peratusan Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) menurun daripada tujuh peratus kepada dua peratus.

Menurut Datuk Seri Amir Hamzah, penurunan peratusan itu menunjukkan tahap kesedaran peminjam dibawah
SJPP meningkat.

Dalam perkembangan lain, beliau juga memaklumkan tambahan sebanyak RM10 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), bagi tahun 2024 bakal dimanfaatkan lebih 40,000 peminjam.

SJKP telah meluluskan lebih 43,000 penerima dengan jumlah pembiayaan melebihi RM8.8 bilion sejak penubuhannya pada tahun 2008.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM