Peminat Malaysia teruja nantikan Piala Dunia

Trofi Piala Dunia FIFA/ AFP

KUANTAN, 10 Jun – Kehangatan Piala Dunia FIFA 2026 semakin dirasai apabila kesemua kesemua 104 perlawanan kejohanan bola sepak terbesar dunia itu akan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTMKLIK membolehkan peminat menonton perlawanan bila-bila masa melalui telefon bimbit dan tablet, bukan hanya di hadapan televisyen.
  • Siaran percuma kerajaan memudahkan tontonan di rumah, jimat kos dan elak perlu ke premis makanan untuk menonton perlawanan.
  • Rakyat Malaysia teruja menantikan Piala Dunia, memberi peluang berkumpul keluarga sambil mengikuti aksi setiap perlawanan.

Kejohanan yang bakal membuka tirainya pada 11 Jun ini merentasi 16 lokasi di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, sekali lagi menjadi tumpuan peminat bola sepak di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Perhatian kini terarah kepada kemudahan akses siaran yang membolehkan peminat mengikuti setiap aksi kejohanan tersebut sekali gus membuka peluang lebih luas kepada mereka untuk menyaksikan perlawanan pasukan dan pemain kegemaran, khususnya menerusi platform RTMKlik.

Pesara kerajaan, Nor Azmi Abdullah berkata kemudahan RTMKLIK membolehkan peminat mengikuti perlawanan di mana-mana sahaja tanpa perlu berada di hadapan televisyen.

“Memang ini satu langkah yang sangat baik sebab RTMKLIK boleh diakses melalui telefon bimbit dan tablet. Jadi, tidak perlu duduk di depan televisyen, di mana-mana pun boleh menonton perlawanan bola sepak. Saya amat bersetuju dan menyokong usaha ini kerana ia sangat baik untuk semua peminat bola sepak,” katanya.

Bagi penjawat awam, Muhammad Syakir A. Ghani, platform tersebut bukan sahaja memudahkan tontonan, malah membolehkan beliau meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

“Rata-rata rakyat Malaysia memang peminat bola sepak. Dengan adanya RTM, kita dapat meluangkan masa bersama keluarga dan pada masa sama menjimatkan masa untuk mengikuti perlawanan,” katanya.

Sementara itu, tukang emas, Muhammad Khadir Abdul Aziz berkata siaran percuma yang ditawarkan kerajaan membolehkan peminat menikmati perlawanan dengan lebih selesa tanpa perlu keluar ke premis makanan atau lokasi lain.

“Sekarang kerajaan sudah sediakan siaran percuma, jadi bolehlah menonton di rumah sahaja. Tidak perlu pergi ke kedai makan atau tempat lain untuk menonton. Semuanya mudah alih dan boleh ditonton bersama isteri melalui telefon pintar,” katanya.

Bagi penghantar makanan, Mohamad Daniel Haikal Hassan pula, peluang menyaksikan kejohanan terbesar bola sepak dunia secara percuma dan peluang tersebut membuatkan keterujaan untuk mengikuti setiap aksi perlawanan.

“Piala Dunia ialah kejohanan yang dinantikan oleh seluruh dunia. Saya rasa sangat berbangga kerana dapat menontonnya secara percuma menerusi TV1 dan TV2,” katanya.

Piala Dunia FIFA 2026 dijadualkan berlangsung bermula 11 Jun hingga 19 Julai 2026, dengan format baharu melibatkan 48 pasukan dan 104 perlawanan
keseluruhan merentasi 16 lokasi di tiga negara.

Penyiaran menerusi RTM dan Unifi TV dijangka
terus menyemarakkan bahang bola sepak dunia dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang sepak mula kejohanan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.