
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Penglibatan golongan muda dalam aktiviti sukan bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kecergasan fizikal, malah berperanan dalam membentuk ciri-ciri kepimpinan pada masa hadapan.
- Sukan menerapkan disiplin, komunikasi berkesan, pemikiran kritis dan kemampuan membuat keputusan dalam situasi tekanan.
- Kemahiran memimpin dalam sukan boleh diaplikasikan untuk mengurus organisasi, NGO dan dunia pekerjaan.
- Institusi pendidikan dan organisasi seperti YADIM melaksanakan program sukan untuk memperkukuh kemahiran insaniah mahasiswa.
- Pendekatan berteraskan sukan membantu melahirkan mahasiswa yang bersedia menghadapi cabaran dan memimpin dengan berkesan.
Presiden Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Muhammad Azri Nor Azman memaklumkan, sukan mampu menerapkan nilai disiplin, pemikiran kritis serta keupayaan membuat keputusan.
“Sukan bukan sahaja membentuk kecergasan fizikal, malah memupuk disiplin, komunikasi berkesan dan pemikiran kritis. Melalui sukan, seseorang belajar bekerja dalam pasukan, membuat keputusan di bawah tekanan serta memimpin dengan baik.
“Nilai-nilai ini amat penting dan boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang termasuk organisasi, NGO dan dunia pekerjaan,” katanya.
Tambah beliau, seseorang yang berjaya memimpin di gelanggang sukan berpotensi untuk mengaplikasikan kemahiran yang sama dalam mengurus organisasi dan memimpin masyarakat.
Mengulas peranan institusi pendidikan dan organisasi seperti YADIM, beliau berkata pelbagai program pembangunan kepimpinan dan aktiviti berteraskan sukan dilaksanakan bagi memperkukuh kemahiran insaniah mahasiswa.
Jelasnya, pendekatan tersebut membantu melahirkan mahasiswa yang bersedia menghadapi cabaran, mampu berfikir secara kritis, bekerja secara berpasukan dan memimpin dengan berkesan pada masa hadapan.