
JOHOR BAHRU, 10 Jun – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menegaskan bahawa jabatan itu tidak mengiktiraf mana-mana kad perakuan nikah selain daripada yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri berkenaan.
- Pengiktirafan hanya untuk Kad Perakuan Nikah yang dikeluarkan rasmi mengikut undang-undang dan prosedur Negeri Johor.
- Kad perakuan dikeluarkan pihak persendirian, syarikat atau pihak lain adalah tidak diiktiraf oleh JAINJ.
- Dokumen sedemikian tidak boleh digunakan untuk urusan rasmi di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
- Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat hanya melalui saluran rasmi JAINJ; isu kad tular menimbulkan keraguan kesahihan.
JAINJ menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, pengiktirafan hanya diberikan kepada Kad Perakuan Nikah yang dikeluarkan secara rasmi mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa di Negeri Johor.
“Sehubungan itu, sebarang kad perakuan nikah, kad pasangan, kad suami isteri atau dokumen seumpamanya yang dikeluarkan oleh pihak persendirian, syarikat atau mana-mana pihak adalah tidak diiktiraf.
“Dokumen-dokumen tersebut juga tidak boleh digunakan bagi sebarang urusan rasmi di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor,” menurut kenyataan itu lagi.
Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi JAINJ.
Langkah itu penting bagi memastikan dokumen perkahwinan yang digunakan oleh pasangan suami isteri adalah dokumen yang sah dan diiktiraf.
Baru-baru ini tular di media sosial berhubung “Kad Perakuan Nikah” yang dikeluarkan atas nama Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia.
Video tersebut mencetuskan pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia, dengan ramai mempersoalkan kesahihan dokumen berkenaan.