
KUALA LUMPUR , 26 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan ucapan takziah atas pemergian seorang tokoh berwibawa Sharifah Zuriah Al-Jeffri yang dilaporkan meninggal dunia semalam.
- Sharifah Zuriah pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.
- Beliau banyak mencurahkan bakti dalam memperkasa pembangunan seni visual tanah air.
- Karya terkenalnya "WITHER COMPASSION? WITHER JUSTICE? WITHER PEACE?" mencerminkan suara nurani dan tuntutan keadilan.
- Perdana Menteri menyifatkan pemergian beliau sebagai kehilangan besar kepada dunia seni negara.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata Allahyarhamah pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dan banyak mencurahkan bakti dalam memperkasa pembangunan seni visual tanah air.
“Antara karya yang dekat di hati ialah lukisan bertajuk “WITHER COMPASSION? WITHER JUSTICE? WITHER PEACE?” yang dihasilkan sebagai refleksi terhadap peristiwa pemecatan saya pada tahun 1998, sebuah karya yang merakamkan suara nurani dan tuntutan keadilan melalui bahasa seni.
Beliau menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar kepada dunia seni negara.
“Moga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan beriman serta beramal soleh. Al-Fatihah”, katanya.