
KUALA LUMPUR, 26 Februari – Sebanyak 90 tangkapan dibuat mengikut Akta Hasutan dalam tempoh dua tahun sejak 2024.
- 90 tangkapan di bawah Akta Hasutan dilaporkan dalam tempoh dua tahun, menunjukkan peningkatan tindakan penguatkuasaan.
- 193 kertas siasatan dibuka tetapi hanya 14 pertuduhan difailkan dalam tempoh sama.
- PDRM bertindak pantas mengekang penyebaran kandungan sensitif 3R untuk mengelak ketegangan kaum dan penghinaan institusi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata jumlah itu melibatkan 58 tangkapan pada tahun lalu dan 32 tangkapan pada 2024.
Sebanyak 193 kertas siasatan dibuka, namun hanya 14 pertuduhan dibuat dalam tempoh yang sama.
Beliau berkata sebanyak tiga pertuduhan dibuat pada tahun lalu, manakala 11 pertuduhan dibuat pada tahun 2024.
“Peningkatan jumlah tangkapan adalah menifestasi ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani penyebaran kandungan sensitif yang membabitkan elemen agama, raja dan kaum (3R).
“Tindakan pantas juga diambil untuk mengekang naratif yang boleh mencetuskan ketegangan kaum atau penghinaan terhadap institusi Diraja sebelum ia menular secara ekstrem”, katanya pada sesi Dewan Rakyat.
Katanya, peningkatan jumlah tangkapan juga memberi isyarat jelas kepada masyarakat bahawa kebebasan bersuara bukan merupakan lesen untuk memfitnah atau menghasut.
Beliau menjawab pertanyaan wakil Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mengenai justifikasi peningkatan ketara jumlah siasatan dan tangkapan yang dilakukan di bawah undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara pada 2025 berbanding 2024.