Perkasa Dasar Perumahan Negara, tangani ketidakseimbangan harga

Foto hiasan / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Kerajaan disaran memperkasakan dasar perumahan negara melalui kawalan harga yang lebih berkesan serta insentif cukai lebih tepat bagi menangani ketidakseimbangan antara harga rumah dengan pertumbuhan pendapatan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuhkan kawalan harga perumahan untuk menjadikan rumah lebih mampu milik kepada golongan muda dan M40.
  • Tawarkan insentif cukai tepat dan skim pembiayaan fleksibel bagi mengurangkan halangan kelulusan kredit.
  • Galakkan inovasi pembinaan dan teknologi pemaju untuk kurangkan kos tanpa menjejaskan kualiti.

Senator Michael Mujah Lihan berkata, harga hartanah di bandar-bandar besar kini meningkat sehingga berada pada tahap tidak mampu milik.

“Walaupun harga bahan binaan dan nilai hartanah meningkat, rata-rata gaji rakyat masih tidak menunjukkan pertumbuhan selari.

“Bagi golongan muda dan kumpulan M40, cabaran bukan sekadar pada harga jualan, sebaliknya kos sara hidup yang tinggi, komitmen hutang sedia ada dan syarat pinjaman bank yang semakin ketat menjadikan proses kelulusan kredit sebagai satu halangan besar,” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Michael, ramai yang terperangkap dalam generasi penyewa dengan sebahagian besar pendapatan habis digunakan untuk membayar sewa tanpa memiliki aset pada masa hadapan.

Beliau berkata, isu berkenaan memerlukan anjakan paradigma daripada semua pihak berkepentingan.

“Pemaju harus lebih inovatif dalam menggunakan teknologi yang mengurangkan kos binaan tanpa menjejaskan kualiti.

“Institusi kewangan perlu meneroka skim pembiayaan yang lebih fleksibel seperti menyediakan skim sewaan yang lebih meluas,” katanya.