fb fb fb fb fb

Pembukaan kampus UKM di Doha meletakkan status pengajian tinggi negara di pentas dunia- PM

Foto Facebook Anwar Ibrahim

DOHA, 15 Mei- Pembukaan kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha telah meletakkan status pengajian tinggi negara di pentas dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran facebook, beliau berkata UKM telah mengorak langkah yang unik dengan pembukaan kampusnya di Doha, apatah lagi UKM bermula sebagai sebuah institusi pengajian awam Malaysia yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

"Sebagai salah seorang yang menandatangani memorandum mendesak penubuhan sebuah universiti awam yang berteraskan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, saya berasa bangga untuk bersama-sama warga UKM di hari yang gemilang ini", katanya.

"Apa yang telah dirintis oleh UKM diharap akan membuka laluan yang lebih luas dan besar kepada universiti awam Malaysia yang lain untuk mengorak langkah serupa selepas ini.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Naib Canselor UKM, Prof. Dato' Dr. Mohd Ekwan Hj Toriman di atas kejayaan besar tersebut.

"Saya ingin memanjatkan rasa syukur kerana telah diberi kesempatan dan ruang ketimbang keberadaan saya di Doha untuk bersama-sama kepimpinan dan warga UKM untuk menyaksikan saat-saat yang unik dan bersejarah ini", katanya.

Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Qatar bermula Isnin atas jemputan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar turut berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Poland, Andrzej Duda di sela-sela Forum Ekonomi Qatar 2024.

Beliau berkata, dalam pertemuan tersebut Presiden Duda menyatakan minat untuk berkunjung ke Malaysia serta menjemput Datuk Seri Anwar ke Poland.

Kedua-dua pemimpin juga senada dalam memperkukuhkan kerjasama terutamanya dalam bidang pengajian tinggi.

"Pertemuan ini juga cukup signifikan di mana kedua-dua negara akan mengambil alih tugas kepengerusian ASEAN dan Majlis Kesatuan Eropah tahun depan dan kami sepakat untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua organisasi.

Beliau berkata Presiden Duda juga turut mengundangnya sebagai tetamu bagi menghadiri Three Seas Summit di Poland tahun depan. Ia akan memberi fokus kepada kerjasama ekonomi dalam bidang tenaga, pengangkutan dan infrastruktur komunikasi.

"Ruangan ini juga kami gunakan untuk bertukar pandangan terkait isu antarabangsa termasuk situasi di Ukraine dan Palestin", katanya menerusi hantaran di facebook.

 

ROSLINA BINTI DIN