fb fb fb fb fb

Pembinaan SMR, tenaga alternatif negara

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 9 Jun- Reaktor modular kecil (SMR) dengan kapasiti janaan dibawah 300 megawatt mungkin menjadi alternatif kepada kos dan keperluan tenaga negara yang semakin meningkat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pihaknya kini dalam proses mengkaji kesesuaian penggunaan reaktor nuklear modular ini pada masa depan.

Beliau yang merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), berkata setakat ini pihaknya masih meneliti dari pelbagai aspek termasuk risiko, kos dan kesan penggunaan reaktor tersebut kepada alam sekitar.

"Disebabkan negara-negara lain sudah pun memulakan dan mengguna pakai dan kita sedang membuat kajian dari segi kesesuaian, belum ada kata putus sama ada akan digunakan, boleh atau tidak, tetapi baru memulakan kajian", katanya kepada media di Majlis Penangguhan Pesta Regatta Sejijak 2024 di Kuching.

Beliau berkata, buat masa ini negara masih bergantung kepada gas, arang batu yang diimport untuk menjana 80 peratus keperluan tenaga, manakala hanya 20 peratus dari sumber tenaga boleh diperbaharui.

Sasaran awal kementerian adalah untuk mula mengurangkan penggunaan arang batu menjelang 2030 dengan menggantikan bahan bakar biojisim yang lebih mesra alam.

Manakala, langkah mempercepatkan peralihan tenaga ini dalam proses pelaksanaan projek solar berskala besar (LSS5) tahun ini dengan kapasiti dibawah 2,000 megawatt dan dijangka beroperasi pada 2026.

Sementara itu, pasukan Udak dan Todak dinobatkan sebagai 'Raja Sungai' pada Regata Sejijak 2024 edisi ke-14 yang berlangsung di tebing sungai Kampung Sejijak di Kuching.

Udak memperoleh gelaran tersebut menerusi kemenangan menewaskan 10 pasukan, 30 bidar (perahu) lain dalam kategori terbuka, sekali gus memperoleh RM20,000 beserta piala.

Manakala, pasukan Todak merupakan 'Raja Sungai' bagi kategori tertutup 30 bidar yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 beserta piala.

Hadiah disampaikan oleh Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut menyaksikan perlumbaan tersebut bersama penduduk kampung.

Regatta Sejijak kali ini mendapat penyertaan terbanyak yang merangkumi 17 pasukan bagi kategori tertutup dan 13 pasukan bagi kategori terbuka untuk bersaing di laluan sejauh 2.8 kilometer.

Acara ini merupakan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sejijak dengan kerjasama Ranting PBB P.194 Petra Jaya dan Ranting PBB DUN N.6 Tupong.

ROSLINA BINTI DIN