
Timbalan Menteri PETRA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad/Foto JaPEN
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kementerian Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang menilai potensi pembangunan program tenaga nuklear secara berperingkat menerusi Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform Corporation.
- Pembinaan loji janakuasa nuklear hanya dipertimbangkan apabila semua prasyarat berkaitan dipenuhi.
- Keputusan bergantung kepada penilaian keselamatan, kebolehlaksanaan, kelestarian dan manfaat kepada negara.
- Kerajaan dan PETRA komited mempelbagaikan sumber tenaga rendah karbon sambil memastikan bekalan, kos dan kelestarian terpelihara.
Penilaian itu bertujuan melihat kesesuaian tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik jangka panjang negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebarang keputusan mengenai pembinaan loji janakuasa nuklear hanya akan dipertimbangkan selepas semua prasyarat berkaitan dipenuhi.
Beliau berkata, keputusan itu juga bergantung kepada hasil penilaian yang menunjukkan teknologi berkenaan selamat, berdaya maju, mampan serta memberi manfaat kepada negara.
“PETRA sentiasa komited untuk mempercepatkan peralihan sektor tenaga negara ke arah sistem tenaga yang lebih bersih berdaya tahan dan mampan.
“Malah, kementerian akan memastikan jaminan bekalan tenaga kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, katanya, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia telah mengenal pasti potensi penjanaan tenaga sebanyak 51.88 megawatt daripada sumber palm oil mill di Semenanjung.
Katanya, SEDA turut bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melaksanakan kajian penilaian sumber geoterma di Ulu Slim, Perak.
“Bagaimanapun, berdasarkan hasil dapatan kajian tersebut, penggerudian eksplorasi perlu dilaksanakan bagi mengesahkan kapasiti sebenar dan kebolehlaksanaan pembangunan sumber geoterma di kawasan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan sentiasa berusaha mempelbagaikan sumber tenaga alternatif rendah karbon.
Jelasnya, pendekatan itu bagi memastikan negara tidak bergantung kepada hanya satu sumber atau teknologi, sekali gus menjamin keselamatan bekalan tenaga pada harga yang kompetitif.