
AYER KEROH, 15 Julai – Kerajaan Negeri Melaka meluluskan peruntukan segera sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan kerja pemulihan dan pembaikan infrastruktur yang terjejas akibat banjir kilat di beberapa kawasan di negeri itu baru-baru ini.
- Mesyuarat Penyelarasan Pasca Banjir 13 Julai diadakan susulan hujan luar biasa melebihi 100 milimeter.
- Peruntukan difokuskan pada penyelenggaraan longkang dan sistem saliran hotspot, diberi keutamaan berdasarkan keperluan DUN terjejas.
- Lapan projek Rancangan Tebatan Banjir bernilai RM1.456 bilion sedang dijalankan; PETRA lulus RM3 juta untuk naik taraf Kolam Takungan Paya Rumput.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Pengurusan Bencana dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Rais Yasin berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Penyelarasan Pasca Banjir pada 13 Julai lalu susulan taburan hujan luar biasa melebihi 100 milimeter.
Menurut beliau, peruntukan tersebut akan digunakan bagi projek-projek segera melibatkan kawasan panas (hotspot) banjir, terutama kerja penyelenggaraan longkang dan sistem saliran yang tersumbat.

“Kerajaan negeri meluluskan RM5 juta bagi projek-projek segera yang melibatkan hotspot banjir, khususnya kerja penyelenggaraan longkang dan sistem saliran yang memerlukan tindakan segera. Peruntukan ini akan diselaraskan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terjejas akibat banjir dan diberi keutamaan berdasarkan keperluan,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Antara kawasan yang terjejas ialah Masjid Tanah, Kampung Sungai Jeram, Bukit Rambai, Tanjung Minyak, Pantai Kundur, Bertam Ulu dan Tehel.
Peruntukan itu akan digunakan bagi kerja pembaikan tebing sungai, struktur kawalan banjir, jambatan, penyelenggaraan sistem saliran serta membaik pulih jalan yang rosak akibat banjir.
Sehingga kini, sebanyak lapan projek Rancangan Tebatan Banjir sedang dilaksanakan di Melaka dengan nilai keseluruhan RM1.456 bilion bagi memperkukuh sistem saliran serta meningkatkan daya tahan negeri terhadap impak perubahan iklim dan cuaca ekstrem.
Datuk Rais berkata, aspek perancangan bandar kini menjadi semakin penting berikutan perubahan iklim yang menyebabkan cuaca lebih ekstrem dan meningkatkan risiko banjir.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri turut menerima kelulusan RM3 juta daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi kerja menaik taraf Kolam Takungan Banjir Paya Rumput yang dijangka bermula Ogos depan.