fb fb fb fb fb

Pembinaan Kem Tentera Darat di Skudai, Johor dibekukan

(Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz)

KUALA LUMPUR, 15 Ogos- Projek pembinaan kem Tentera Darat di Taman Sri Skudai, Skudai, Johor terpaksa dibekukan buat sementara ketika ini.

Ini bagi menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 21 Disember 2018 yang telah memutuskan supaya Syarikat Kausar Consortium Sdn Bhd (KCSB) iaitu kontraktor yang bertanggungjawab membina kem ini untuk membayar sejumlah ganti rugi bernilai RM269.5 juta kepada pihak kerajaan.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, ini akibat kegagalan mereka menyiapkan projek tersebut mengikut tempoh waktu yang ditetapkan iaitu pada 10 Jun 2001 walaupun syarikat ini telah diberi pelanjutan tempoh sehingga 10 Januari 2003.

"Perjanjian Penswastaan Tiga Pihak Bagi Rekabentuk dan Pembinaan Kem Tentera di Skudai telah ditandatangani antara Kementerian Pertahanan pada 10 Julai 1997 dengan Syarikat Kausar Consortium Sdn Bhd (KCSB) bagi projek pembangunan Kem 7 Briged di Skudai, Johor bagi tempoh tiga tahun bermula 10 Julai 1997 hingga 10 Jun 2001 dengan nilai projek berjumlah RM 256 juta. Projek ini walaubagaimanapun terpaksa dihentikan pada Disember 2002 kerana Syarikat KCSB menghadapi masalah kewangan dan syarikat hanya mampu menyiapkan 18.3% daripada keseluruhan skop projek," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Teo Eng Tee dalam sesi soal jawab Persidangan Dewan Negara di Parlimen.

Ujar Ikmal, pada masa ini tuntutan ganti rugi tersebut sedang dalam tindakan penguatkuasaan oleh Unit Pelaksanaan dan Penguatkuasaan, Jabatan Peguam Negara.


(Persidangan Dewan Negara di Parlimen)

Media Baharu