fb fb fb fb fb

Pembentangan RMK13 diharap bawa perubahan kepada rakyat

Foto BERNAMA

IPOH, 29 Julai - Dengan misi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan inklusif, penduduk di Perak mengharapkan pembenatangan Rancangan Malaysia Ke13 (RMK13) Khamis ini membawa perubahan signifikan kepada kehidupan rakyat.

Antara harapan utama penduduk ialah penambahbaikan sektor kesihatan, termasuk penyediaan fasiliti dan infrastruktur yang lebih mesra pengguna, khususnya untuk warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU).

Bagi orang awam, Sharifah Anita Wafa Syed Munir berpendapat kemudahan lebih baik diperlukan terutama untuk golongan memerlukan perhatian khas.

"Kami faham keadaan ini walaupuan masa menunggu agak lama kerana jumlah pengunjung yang ramai. Namun, adalah lebih baik sekiranya kemudahan atau infrastruktur yang lebih kondusif dapat disediakan bagi mengurangkan tempoh menunggu khususnya untuk golongan berkeperluan khas, warga emas dan lain-lain yang memerlukan perhatian," katanya.

Manakala, Haniza Norlin Md Yusof berpandangan laluan keutamaan disediakan khas bagi golongan yang memerlukan.

"Terdapat laluan keutamaan (priority lane) khusus untuk warga emas dan golongan kelainan upaya. Ini kerana mereka biasanya dalam keadaan uzur, menghadapi pelbagai masalah kesihatan, dan kadangkala terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan," ujarnya.

Bagi Muhammad Shahrul Naim pula, warga emas dan OKU sering menunggu dalam tempoh yang lama.

"Warga emas dan golongan kelainan upaya sering menghadapi kelewatan dalam menerima rawatan kecemasan, kadangkala perlu menunggu sehingga tengah hari walaupun telah hadir sejak pagi," katanya.
 
Sementara itu, Rajakumar berpendapat ada masanya rawatan dijalankan dengan cepat.

"Kadang-kadang rawatan berjalan dengan cepat, terutama apabila doktor ada kelapangan walaupun saya juga ada janji temu dan pembedahan yang perlu dihadiri," katanya.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN