
LABUAN, 9 April – Tularnya maklumat tidak sahih di media sosial mencetuskan pembelian panik dalam kalangan pengguna sehingga menyebabkan bekalan beras putih di Labuan berkurangan.
- KPDN Labuan menjalankan pemeriksaan bekalan dan harga di pemborong serta pasar raya untuk memastikan bekalan mencukupi dan pematuhan undang-undang.
- Bekalan di peringkat pemborong stabil; kekurangan sementara di peringkat runcit disebabkan permintaan mendadak menunggu penghantaran dari Sabah.
- KPDN menasihatkan pengguna membeli secara berhemah; salur aduan bekalan ke KPKM dan aduan harga atau pencatutan ke KPDN.
Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan bertindak segera menjalankan pemeriksaan bekalan dan harga di pasaran.
Tinjauan dilakukan di beberapa pemborong utama serta pasar raya sekitar Labuan bagi memastikan bekalan mencukupi dan pematuhan perundangan berada pada tahap ditetapkan.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, hasil pemantauan mendapati bekalan barang kawalan di peringkat pemborong adalah mencukupi dan stabil, termasuk beras putih serta beras import.
Namun, kekurangan sementara di peringkat runcit berpunca daripada peningkatan permintaan mendadak susulan pembelian panik pengguna.
“Bekalan beras putih di peringkat pemborong adalah mencukupi dan jadual penghantaran berjalan seperti biasa tanpa sebarang kelewatan,” katanya.
Situasi itu menyebabkan stok di rak jualan pasar raya berkurangan sementara menunggu penghantaran seterusnya dari Sabah.
Sehubungan itu, KPDN menasihatkan pengguna agar tidak melakukan pembelian panik, sebaliknya membeli secara berhemah bagi memastikan kestabilan bekalan di pasaran.
Sebarang aduan berkaitan bekalan beras boleh disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), manakala aduan berkaitan harga atau pencatutan boleh dibuat kepada KPDN untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.