KKM perkukuh langkah pastikan bekalan ubat, peranti perubatan terus terjamin

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 9 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh langkah bagi memastikan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan terus terjamin susulan kesan krisis tenaga global terhadap rantaian bekalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengukuhkan stok penimbal, mempelbagaikan sumber bekalan dan mempergiat pemantauan bahan mentah serta rantaian bekalan bersama pihak industri.
  • Pengurusan bekalan berhemah melalui pengagihan berasaskan keperluan klinikal, penggunaan rasional, pelan rawatan alternatif dan pemudahcaraan proses regulatori.
  • Pengukuhan jangka sederhana dan panjang termasuk UDI, peluasan e-Labelling, pembangunan industri tempatan dan inisiatif MyMedSecure serta stok penimbal strategik.

Menurut kementerian itu, situasi berkenaan memberi impak kepada penghantaran serta akses kepada beberapa peranti perubatan kritikal, khususnya produk import berisiko tinggi, selain menjejaskan keupayaan pembekal memenuhi obligasi kontrak.

Sehubungan itu, KKM melaksanakan pelbagai langkah termasuk pengukuhan stok penimbal bagi ubat dan peranti perubatan kritikal, mempelbagaikan sumber bekalan serta mempergiat pemantauan bahan mentah dan rantaian bekalan bersama pihak industri.

“Langkah ini bagi membolehkan risiko gangguan dikenal pasti lebih awal dan ditangani secara bersasar,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, pengurusan bekalan dilaksanakan secara berhemah melalui pengagihan berasaskan keperluan klinikal serta penggunaan secara rasional.

KKM turut menyediakan pelan rawatan alternatif dan memudahcara proses regulatori bagi memastikan akses berterusan kepada ubat-ubatan.

Selain itu, kementerian melaksanakan Laluan Akses Khas (Special Access Pathway), pengaktifan pelan gerak balas kecemasan, penetapan item kawalan serta peluasan penggunaan e-Labelling bagi peranti perubatan.

Bagi jangka sederhana dan panjang, tumpuan diberikan kepada pengukuhan daya tahan bekalan termasuk peralihan penggunaan bahan resin kepada polimer, pelaksanaan sistem Unique Device Identification (UDI) serta pembangunan industri tempatan bagi peranti perubatan.

Bagi ubat-ubatan pula, usaha melibatkan pembangunan dasar keterjaminan bekalan melalui inisiatif MyMedSecure, pengukuhan pengeluaran tempatan, pendigitalan rantaian bekalan serta pewujudan stok penimbal strategik nasional.

Langkah tersebut dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan terus terpelihara.