PUTRAJAYA, 3 Mei - Inisiatif pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun dengan kadar fi pembaharuan istimewa dan kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh bermula 8 Mei ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata melalui inisiatif yang diadakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), orang ramai boleh memperbaharui LMM masing-masing untuk tempoh maksima sehingga 10 tahun berbanding sebelum ini yang dihadkan kepada lima tahun sahaja.
"Mana-mana pemegang LMM yang memperbaharui lesen untuk 10 tahun sekali gus akan hanya dikenakan bayaran untuk tempoh sembilan tahun sahaja," katanya dalam sidang media hari ini di Putrajaya.
(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook)
Bagaimanapun, pembaharuan untuk tempoh sepuluh tahun sahaja yang akan menerima fi istimewa tersebut.
Inisiatif tersebut untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas permit jangka masa panjang.
Sementara itu, menurut Loke, mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sepanjang pandemik COVID-19 serta kekangan dihadapi oleh rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM masing-masing kerana tidak berpeluang untuk pulang ke tanah air, MOT akan memberi kebenaran khas kepada mana-mana pemegang LMM yang telah tamat tempoh sah laku untuk memperbaharui LMM masing-masing tanpa perlu menjalani semula ujian.
Namun kebenaran khas ini hanya terhad kepada LMM yang tempoh sah laku telah tamat mulai 1 Januari 2018 dan ke hadapan sahaja.
Katanya lagi, tempoh kebenaran khas ini hanya berkuatkuasa sehingga hujung tahun ini, memandangkan ramai rakyat Malaysia yang sudah pulang ke tanah air dan inisiatif ini dapat membantu rakyat dalam memudahkan perbaharui LMM mereka.