Pemantauan berterusan, tindakan konsular pastikan peserta GSF selamat – Lukanisman

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kesemua 29 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 selamat pulang hasil pemantauan berterusan dan tindakan konsular yang dilaksanakan Kementerian Luar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan berterusan dan langkah konsular memastikan keselamatan serta kebajikan peserta misi terpelihara.
  • Selarasan usaha bersama penganjur misi dan pejabat perwakilan diplomatik bagi perlindungan dan sokongan warga Malaysia.
  • Malaysia mengecam tindakan rejim Zionis dan menggunakan saluran diplomatik dua hala, pelbagai hala, Brazil Declaration 2026 serta OIC untuk akses bantuan kemanusiaan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata kementerian turut menyelaras usaha bersama penganjur misi serta pejabat perwakilan diplomatik Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang terlibat sentiasa terpelihara.

“Kementerian turut mengambil langkah-langkah konsular yang sewajarnya bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara, dan memastikan kesemua 29 rakyat Malaysia pulang dengan selamat. Alhamdulillah, kesemua (29) rakyat Malaysia telah selamat pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya di Dewan Rakyat hari ini berhubung sokongan berterusan Wisma Putra terhadap misi berkenaan serta kerjasama kerajaan dengan negara luar.

Menurut beliau, Malaysia turut mengecam tindakan rejim Zionis Israel terhadap peserta misi kemanusiaan itu dan akan terus menggunakan saluran diplomatik dua hala serta pelbagai hala bagi memperjuangkan akses bantuan kemanusiaan yang selamat dan berterusan kepada penduduk Gaza.

Malaysia pada masa sama memperkukuh kerjasama strategik dengan negara-negara yang konsisten menyuarakan pembelaan terhadap isu Palestin termasuk melalui inisiatif Brazil Declaration 2026.

“Kita juga menjalinkan kerjasama dan membina tekanan diplomatik secara kolektif melalui platform pelbagai hala iaitu OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam),” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan kekal teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dan usaha kemanusiaan yang dilaksanakan selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.