Kelewatan 18 tahun warta kolam takungan banjir dikenal pasti

Hannah Yeoh ketika menjawab soalan mengenai mitigasi banjir pada persidangan Dewan Rakyat/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kerajaan mengenal pasti kelewatan selama 18 tahun dalam tindakan mewartakan kawasan kolam takungan banjir di ibu negara hasil semakan dan siasatan bebas yang dilaksanakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat 9 Oktober 2016 membatalkan kelulusan perizaban, membolehkan pemindahan milikan 80 ekar kepada pemaju untuk pembangunan bercampur.
  • Penubuhan dua Task Force untuk pewartaan kawasan hijau dan mitigasi banjir, memperkukuh langkah kawalan kawasan berisiko.
  • DBKL tidak lagi meluluskan kebenaran merancang bagi tanah kolam takungan banjir jika syarat teknikal belum dipenuhi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kelewatan itu menyebabkan proses pewartaan tidak dilaksanakan ketika pemberi milikan tanah bagi kawasan berkenaan dibuat.

Menurut beliau, kawasan terbabit telah diluluskan untuk perizaban pada 19 Jun 1998, namun Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan pada 9 Oktober 2016 kemudian bersetuju membatalkan kelulusan tersebut bagi membolehkan pemberi milikan tanah seluas 80 ekar kepada sebuah pemaju untuk pembangunan bercampur.

“Jadi rumusannya, terdapat kelewatan selama 18 tahun untuk tindakan pewartaan kawasan ini diambil.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman di Dewan Rakyat hari ini berhubung cadangan siasatan serta audit nasional bebas terhadap pembangunan di kawasan kolam takungan banjir.

Susulan penemuan itu, kerajaan memperkukuh langkah mitigasi banjir menerusi penubuhan Task Force Pewartaan Kawasan Hijau dan Task Force Mitigasi Banjir bagi memastikan kawasan berisiko terus dipelihara.

Hannah berkata, sebanyak 543 kawasan hijau telah diwartakan di Kuala Lumpur tahun ini, selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak lagi akan meluluskan permohonan kebenaran merancang di kawasan kolam takungan banjir sekiranya syarat teknikal belum dipenuhi.

“Untuk kawalan di bawah DBKL sekarang, memang mereka tidak akan memberikan kebenaran merancang untuk tanah-tanah kolam takungan banjir ini jika syarat teknikal tidak dipatuhi dan belum dipenuhi.”

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan jumlah lokasi hotspot banjir kilat di Kuala Lumpur berjaya dikurangkan daripada 30 kepada 14 lokasi utama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.