
CANBERRA, 1 Julai – Kerjasama strategik antara Kumpulan Weststar menerusi Weststar Defence Industries Sdn Bhd dan Rocket Technologies International (RTI) dalam sektor aeroangkasa, pertahanan, satelit dan teknologi maju berpotensi menjana nilai komersial jangka panjang melebihi RM42 bilion.
- Kerjasama Weststar-RTI memperkukuh keupayaan pertahanan dan aeroangkasa, selari usaha kerajaan kurangkan kebergantungan luar.
- Weststar peroleh kepakaran RTI dalam R&D, pembangunan modal insan dan pengeluaran produk pertahanan berteknologi tinggi.
- Perkongsian teknologi membolehkan Malaysia membangunkan kemampuan pengeluaran roket sendiri, menyokong kedaulatan dan kestabilan serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu selari dengan usaha kerajaan memperkukuh keupayaan pertahanan negara, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar dalam pembangunan teknologi strategik.
Menurut beliau, menerusi kerjasama berkenaan, Weststar berpeluang memperoleh kepakaran teknologi daripada RTI, selain menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan serta pengukuhan hubungan dengan institusi pengajian tinggi.
“Kerjasama ini akan membolehkan negara melalui Weststar membangunkan kemampuan dalam pengeluaran produk-produk pertahanan. Pada masa sama, saya percaya Weststar akan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global RTI.
“Segala teknologi, kepakaran dan modal insan yang dibangunkan akan membantu negara untuk memiliki keupayaan mengeluarkan roket sendiri pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan Majlis Perjanjian Usahasama Strategik (JVA) antara Weststar dan RTI di sini, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan mengalu-alukan kerjasama berkenaan memandangkan bidang aeroangkasa merupakan antara sektor strategik yang penting dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara.
Katanya, RTI mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan komponen dan teknologi berkaitan industri pertahanan, sekali gus membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan keupayaan dalam pengeluaran produk pertahanan berteknologi tinggi.
Beliau turut menyifatkan kesediaan RTI berkongsi teknologi sebagai sesuatu yang signifikan kerana tidak banyak negara atau syarikat sanggup berkongsi kepakaran, khususnya dalam pembangunan teknologi roket dan sistem misil.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata kerjasama itu juga selaras dengan pendekatan Australia dalam memperkukuh kerjasama pertahanan dengan negara-negara sahabat menerusi dasar pembangunan teknologi pertahanannya.
Usaha berkenaan diyakini mampu membantu Malaysia membangunkan keupayaan pertahanan yang lebih berdaulat, sekali gus mengukuhkan keselamatan negara dan menyumbang kepada kestabilan rantau.
Beliau berkata pembangunan keupayaan domestik dalam industri pertahanan merupakan langkah penting bagi memastikan Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada negara lain dalam memenuhi keperluan aset dan teknologi pertahanan pada masa hadapan.