Ant International perkukuh komitmen AI, bakat digital di Malaysia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Pemilihan Malaysia sebagai lokasi Pusat Pembangunan Global Ant International membuktikan keyakinan syarikat teknologi kewangan global itu terhadap ekosistem digital negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Manfaat peluang untuk melahirkan tenaga mahir yang mampu memenuhi keperluan ekonomi digital global.
  • Kerjasama antara industri, universiti dan pusat penyelidikan diperlukan untuk memastikan teknologi memberi nilai tambah kepada ekonomi.
  • Pembangunan teknologi mesti berpandukan akauntabiliti, ketelusan dan tanggungjawab supaya manfaat pertumbuhan dikongsi menyeluruh.
  • Kerajaan sedang memuktamadkan RUU Tadbir Urus Kecerdasan Buatan dan meminta input pakar serta pengalaman Ant International.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu merupakan satu pencapaian penting kepada Malaysia dalam usaha memperkukuh pembangunan digital, kecerdasan buatan (AI), bakat tempatan dan inovasi kewangan digital.

Beliau berkata, peluang tersebut perlu dimanfaatkan sebaik mungkin, khususnya dalam melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang mampu memenuhi keperluan ekonomi digital global.

“Ant International telah memilih Malaysia sebagai antara negara terawal, malah sebagai titik permulaan dalam usaha mengukuhkan pembangunan inisiatif digital. Kita tentunya perlu menggunakan dan memanfaatkan kemudahan ini sebaik-baiknya,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Pembangunan Global Ant International di sini.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara industri, universiti dan pusat penyelidikan bagi memastikan teknologi baharu benar-benar memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.

Menurut beliau, teknologi, kewangan dan inovasi tidak boleh menjadi matlamat akhir semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, peningkatan keupayaan tempatan serta peluasan akses perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata kepercayaan digital menjadi asas utama dalam membina sebuah negara digital yang berdaya tahan.

Jelas beliau, pembangunan teknologi perlu dipandu prinsip akauntabiliti, ketelusan dan tanggungjawab, selain memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dikongsi secara lebih menyeluruh.

Datuk Seri Anwar turut memaklumkan kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan.

Jelasnya, RUU itu akan melengkapi rangka kerja sedia ada, termasuk Akta Keselamatan Siber dan peraturan perlindungan data.

“Kerajaan Malaysia sedang memuktamadkan RUU Tadbir Urus Kecerdasan Buatan dan kita memerlukan pandangan serta input daripada pihak berkepakaran.

“Saya akan meminta pegawai berkaitan dan kementerian untuk mengadakan perbincangan, kerana Ant International mempunyai kepakaran serta pengalaman dalam memahami peraturan dan undang-undang berkaitan di pelbagai negara,” katanya.

Ant International ialah penyedia teknologi kewangan digital global yang menawarkan penyelesaian pembayaran digital, fintech dan pendigitalan kepada institusi kewangan serta peniaga pelbagai saiz.

Melalui platform teknologi bersepadunya, syarikat itu menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang lebih inklusif, selaras dengan usaha Malaysia memperkukuh ekosistem AI, bakat digital dan inovasi kewangan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.