Isu pembekalan baja di kawasan MADA dijangka selesai akhir Julai

Gambar Hiasan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) giat melaksanakan usaha bagi memastikan isu kelewatan pembekalan baja di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dapat diselesaikan sebelum 30 Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Baja Sebatian Padi 1: 840,295 beg diterima, 705,847 diagihkan; pembekal komited lengkapkan pembekalan pada 15 Julai 2026.
  • Baja Sebatian Tambahan Padi 3 hanya 37,560 beg diterima (6%), 30,799 diagihkan, menyebabkan defisit dianggarkan 160,000 beg.
  • Pembekalan baja urea tertunda selepas pembekal gagal kembalikan Surat Setuju Terima; pelantikan dibatalkan, tender baharu dilaksanakan, bekalan dijangka 15 Julai.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, setakat 29 Jun lalu, sebanyak 840,295 beg Baja Sebatian Padi 1 atau 76 peratus daripada keperluan telah diterima, dengan 705,847 beg diagihkan kepada pesawah.

Menurut beliau, pihak pembekal memberi komitmen untuk menyelesaikan pembekalan sepenuhnya selewat-lewatnya pada 15 Julai 2026.

“Bagi Baja Sebatian Tambahan Padi 3 pula, hanya 37,560 beg atau enam peratus daripada keseluruhan keperluan 616,015 beg diterima, manakala 30,799 beg telah diagihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jerlun, Dr. Abd Ghani Ahmad mengenai kelewatan pembekalan baja dan racun kepada pesawah pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Jelasnya, kelewatan itu menyebabkan defisit bekalan dianggarkan sebanyak 160,000 beg.

Sementara itu, kelewatan pembekalan baja urea berlaku selepas pembekal gagal mengembalikan Surat Setuju Terima (SST) dalam tempoh ditetapkan, menyebabkan pelantikannya dibatalkan dan tender baharu dilaksanakan.

Pembekalan baja urea dijangka bermula pada 15 Julai ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.